ALOR SETAR: Seramai 3,339 penduduk di negeri ini dipindahkan akibat banjir termasuk di Pokok Sena yang menjadi daerah keempat berdepan bencana itu setakat pukul 4 petang tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kedah memaklumkan, Kubang Pasu terus mencatatkan peningkatan jumlah mangsa apabila 2,357 penduduk berlindung di 15 pusat pemindahan sementara (PPS).
“Kota Setar juga merekodkan peningkatan mangsa kepada 878 orang buat masa ini tidak termasuk mangsa di dua lagi PPS yang dalam proses bancian.
“Sementara Pokok Sena pula menyaksikan 104 mangsa daripada 34 keluarga mula dipindahkan ke PPS Dewan Serbaguna setelah empat kampung dinaiki air,” katanya di sini, hari ini.
Katanya, terdapat 20 PPS yang aktif di tiga daerah tersebut ketika ini bagi menempatkan kesemua mangsa daripada 1,148 keluarga.
Untuk rekod, Kulim yang menjadi daerah terawal dilanda banjir telah pulih sepenuhnya dan kesemua PPS di daerah itu ditutup secara berperingkat sehingga kelmarin. – UTUSAN










