Seramai 21,026 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di seluruh Pahang bakal menerima manfaat melalui peluasan Program Tunas Makmur 2025 yang diumumkan oleh Kerajaan Negeri Pahang.
Menteri Besar Pahang, Datuk Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, program itu membabitkan pemberian set bantuan barangan sekolah dengan implikasi kewangan sebanyak RM1.05 juta sebagai usaha meringankan beban keluarga berpendapatan rendah.
Menurut beliau, Majlis Tindakan Sosial Negeri Pahang (MTSP) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) serta agensi berkaitan akan mula mengagihkan bantuan tersebut minggu hadapan bagi memastikan setiap pelajar yang layak menerima sumbangan berkenaan.
Selain itu, katanya, semua pelajar SPM turut menerima Kad Diskaun Pelajar yang menawarkan potongan sehingga 30 peratus di MBS Books & Stationery, termasuk buku rujukan dan latihan percuma serta peralatan persekolahan bagi pelajar Tingkatan Lima dalam kategori miskin tegar.
“Kesemua inisiatif ini mencerminkan keprihatinan serta komitmen berterusan kerajaan negeri terhadap pembangunan ilmu pengetahuan dan kejayaan akademik anak-anak Pahang,” katanya dalam kenyataan media kepada Utusan Pelajar di sini hari ini.
Wan Rosdy yakin, dengan usaha berterusan serta kerjasama semua pihak dalam memperkukuh aspek pendidikan di Pahang. –UTUSAN










