MELAKA: Seramai 200 orang veteran tentera daripada skuad elit Grup Gerak Khas (GGK) akan diserap ke dalam Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) mulai tahun depan bagi memperkukuh keupayaan aspek kawalan di semua pintu sempadan negara.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, kesemua mereka kini sedang ditapis untuk mengisi kekosongan yang diperlukan oleh AKPS.
Menurutnya, mereka yang dipilih adalah daripada anggota GGK terdiri daripada anggota komando, anggota Pasukan Khas Laut (Paskal) dan 10 Briged Para.
Beliau berkata, dasar kementerian itu adalah sebahagian daripada pendekatan kerajaan untuk memanfaatkan pengalaman dan kepakaran veteran tentera khususnya membabitkan anggota skuad elit tersebut.
“Kami akan kemukakan nama-nama yang telah dinilai keupayaaan mereka dan terpulang kepada AKPS untuk membuat penilaian terakhir.
“Di peringkat kementerian kami telah mengadakan temuduga mereka yang telah disenaraikan dan senarai itu akan dikemukakan kepada AKPS tidak lama lagi,” ujarnya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Program Santuni Madani di Masjid Raudhatul Jannah, Bukit Katil di sini hari ini.
Adly berkata, kementerian mencadangkan untuk menempatkan anggota GGK kerana mereka mempunyai pengalaman daripada segi kejurulatihan, disiplin dan kepakaran.
Jelasnya, kehadiran anggota berkenaan amat perlu memandangkan pintu sempadan negara memerlukan kawalan agak ketat dan hanya mereka yang berpengalaman sahaja sesuai ditempatkan di situ.
“Kami lihat anggota komando dan juga anggota-anggota yang terlatih yang lain mempunyai banyak pengalaman terlibat dengan aspek-aspek strategik dan tempat-tempat yang strategik,” ujarnya.
Katanya, pihak kementerian yakin veteran tentera yang dipilih berumur 40 tahun masih boleh memberi khidmat dalam tempoh 20 tahun jika dipilih oleh AKPS. – UTUSAN










