1MDB: Nasib Najib ditentukan 26 Dis.

1MDB: Nasib Najib ditentukan 26 Dis.

Najib Tun Razak tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Selasa lalu untuk sambungan hujahan pembelaan kes penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang bersidang di Istana Kehakiman di sini semalam menetapkan 26 Disember ini untuk keputusan akhir kes pembe­laan penyelewengan dana RM2.3 bilion milik syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Deve­lopment Berhad (1MDB).

Hakim Datuk Collin Lawren­ce Sequerah yang kini Hakim Mahkamah Rayuan menetapkan tarikh tersebut selepas peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memohon masa tambahan untuk menyelesaikan hujahannya.

“Saya tahu hujahan ini akan berlanjutan pada 4 November ini. Tetapi saya perlu nyatakan sekarang, pada masa ini bahawa saya akan membuat keputusan saya pada 26 Disember ini, pukul 9 pagi,” kata beliau.

Sebelum ini, Mahkamah Ting­gi menetapkan sembilan hari untuk hujahan di akhir kes pembelaan yang bermula pada 21 Oktober lalu.

Pada tarikh tersebut (21 Oktober), pembelaan membuka hujah mereka sebelum berakhir pada tengah hari 29 Oktober lalu. Pada petang hari yang sama, pihak pendakwaan menjawab hujah yang dikemukakan dan berakhir pada keesokan harinya.

Pembelaan membuat hujahan semula bermula 30 Oktober dan sepatutnya berakhir pada tengah hari semalam.

Bagaimanapun, Muhammad Shafee sekitar pukul 12 tengah hari memohon masa tambahan dengan menyatakan masih terdapat beberapa isu yang perlu dirumuskan namun ditolak oleh Hakim Sequerah disebabkan mahkamah telah mempunyai kes lain yang juga perlu diberikan keutamaan.

Mahkamah menetapkan 4 November ini untuk pembelaan menyambung hujahan dan turut memerintahkan agar pihak-pihak berkenaan menamatkan hujahan mereka pada tarikh tersebut.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan di Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia (SPRM), Datuk Ahmad Akram Gharib dan dibantu oleh Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan III, Datuk Kamal Baharin Omar sera Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P. Kunyalam, Deepa Nair Thevarahan, Nadia Mohd. Izhar, Najwa Bistamam, Hazmida Harris Lee dan Siti Aina Rodhiah Shikh Md Saud.

Selain Muhammad Shafee, pembelaan turut dianggotai oleh Datuk Tania Scivetti, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, Wan Mohammad Arfan Wan Othman, Hartrisha Kaur Sandhu dan Na­resh Mayachandran.

Perbicaraan bermula 28 Ogos 2019 dan pendakwaan menutup kes mereka pada hari Sabtu, 30 Mei 2024 yang mana pada ketika itu prosiding telah mengambil masa sebanyak 235 hari dan 50 saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan.

Saksi pertama pendakwaan ialah Datuk Dr. Farizah Ahmad yang juga Setiausaha Bahagian Kanan Bahagian Kabinet dan Perlembagaan Jabatan Perdana Menteri manakala saksi terakhir ialah bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan.

Pada 30 Oktober 2024, Mah­kamah memerintahkan Najib yang mana tarikh pertama beliau memberi keterangan secara bersumpah pada 2 Disember 2024. Pada 6 Mei lalu, pembelaan menutup kes mereka selepas memanggil 26 orang saksi.

Saksi terakhir pembelaan ialah pemeriksa forensik dokumen, Tay Eue Kam.

Selain saksi-saksi tersebut, turut hadir memberi keterangan ialah bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohd Bakke Salleh; bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi; bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz; adinda Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, Tengku Datuk Rahimah Putri Almarhum Sultan Mahmud; dan bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa.

Pada peringkat awal perbica­raan, pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram. Beliau bagaimanapun meninggal dunia di usia 79 tahun pada 29 Januari 2023.
Najib didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada 20 September 2018 sebelum kes dibenarkan untuk dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini pada 31 Oktober 2018.

Najib berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.28 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memperuntukkan hukuman pen­jara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan perbuatan itu antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan mengi­kut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pence­gahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN