PETALING JAYA: Maybank mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM3.51 bilion pada suku ketiga berakhir 30 September 2025, hampir sama berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, manakala keuntungan bersih sebahagian besarnya kekal tidak berubah pada RM2.62 bilion suku ke suku.
Secara memberangsangkan, pendapatan berasaskan dana bersih terus bertambah baik, meningkat sebanyak 1.5 peratus suku ke suku kepada RM5.01 bilion didorong oleh pengurusan liabiliti aset yang berdisiplin.
Perbelanjaan operasi diurus dengan baik, turun sebanyak 3.5 peratus suku ke suku.
PBT meningkat 3.1 peratus tahun ke tahun, manakala keuntungan bersih bertambah 3.3 peratus tahun ke tahun mencerminkan momentum keuntungan yang stabil.
Prestasi asas disokong oleh peningkatan 3.2 peratus tahun ke tahun dalam pendapatan operasi bersih kepada RM7.46 bilion, dengan pendapatan berasaskan dana bersih dan NoII masing-masing menyumbang kepada kenaikan sebanyak 2.5 peratus dan 4.8 peratus.
Keuntungan operasi praperuntukan Kumpulan (PPOP) pula meningkat 2.8 peratus tahun ke tahun kepada RM3.81 bilion.
Keuntungan bersih bank terbesar di Malaysia itu mencecah RM7.84 bilion bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2025, meningkat 3.7 peratus berbanding RM7.56 bilion yang direkodkan dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Peningkatan ini disokong oleh prestasi pendapatan berasaskan dana bersih yang stabil, pendapatan bukan faedah (NoII) yang lebih tinggi dan disiplin pengurusan risiko yang berhemah di seluruh rangkaian serantaunya.
Pendapatan operasi bersih meningkat 3.2 peratus tahun ke tahun kepada RM22.86 bilion, disokong oleh pendapatan berasaskan dana bersihnya yang meningkat 1.6 peratus tahun ke tahun kepada RM14.90 bilion dan NoII yang meningkat 6.3 peratus kepada RM7.96 bilion.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Seri Khairussaleh Ramli berkata, Maybank menunjukkan prestasi yang stabil bagi suku tersebut walaupun terdapat ketidaktentuan dan cabaran yang berterusan dalam landskap global.
“Kumpulan mengekalkan pendekatan berdisiplin dalam menguruskan risiko mudah tunai, pembiayaan dan risiko kredit, disamping terus memberi perkhidmatan kepada pelanggan merentasi semua segmen.
“Kualiti aset yang mampan mencerminkan pengurusan risiko Kumpulan yang berhemat, manakala pertumbuhan nisbah Akaun Semasa dan Akaun Simpanan (CASA) yang kukuh dan pemulihan NIM menekankan daya tarikan positif strategi deposit dan pendanaannya.
“Sebagai mengakhiri fasa akhir M25+, tumpuan kami kekal pada mengukuhkan penambahbaikan struktur yang telah dilaksanakan terutamanya dalam produktiviti, kecekapan modal dan pengalaman pelanggan.
“Asas ini akan menyediakan landasan kukuh seiring peralihan kami kepada pusingan strategik seterusnya, di mana kami akan terus membina kedudukan kukuh dalam perbankan Islam dan berasaskan nilai, pengurusan kekayaan dan perdagangan, meningkatkan daya saing bagi memacu pertumbuhan mampan dan inklusif.
“Ini sekali gus mengukuhkan kedudukan kami sebagai kumpulan perkhidmatan kewangan serantau berpacukan tujuan,” katanya. – UTUSAN










