1,000 sertai Jalan Santai MPAJ, semarak semangat perpaduan komuniti

1,000 sertai Jalan Santai MPAJ, semarak semangat perpaduan komuniti

MPAJ
HASROLNIZAM Shaari melepaskan Jalan Santai 3KM di Padang Perbandaran MPAJ, Pandan Indah pagi tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMPANG JAYA: Lebih 1,000 peserta pelbagai kaum dan lapisan umur menyertai program Jalan Santai 3KM anjuran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) sempena Hari Tanpa Kenderaan dan Hari Kanak-Kanak Peringkat MPAJ 2025 yang berlangsung di Padang Perbandaran MPAJ, Pandan Indah.

Meskipun hujan renyai turun seawal pagi, ia tidak menghalang semangat para peserta yang hadir beramai-ramai bersama keluarga bagi menyertai aktiviti sihat dan santai itu yang jelas mencerminkan nilai perpaduan serta keharmonian masyarakat setempat.

Program yang bermula seawal 7.30 pagi itu menyaksikan para peserta menyusuri laluan utama sekitar Pandan Indah sejauh tiga kilometer, yang ditutup sementara bagi memberi laluan kepada acara tersebut dalam suasana selamat dan terkawal.

Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Hasrolnizam Shaari berkata, Jalan Santai ini merupakan sebahagian daripada usaha MPAJ untuk memupuk budaya hidup sihat, menyemai kesedaran alam sekitar serta memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan warga Ampang Jaya.

“Program ini bukan sekadar berjalan kaki, tetapi satu platform menyatukan masyarakat pelbagai kaum, latar belakang dan usia dalam satu acara penuh mesra dan menyeronokkan. Inilah semangat komuniti yang kita ingin tanamkan,” katanya ketika ditemui.

Tambah beliau, program bersifat santai ini tidak bersifat kompetitif dan terbuka kepada semua, menjadikannya ideal sebagai aktiviti riadah kekeluargaan yang mempererat hubungan antara penduduk setempat.

Selain acara utama Jalan Santai, turut dianjurkan pelbagai aktiviti menarik sempena Hari Kanak-Kanak seperti sukaneka, pertandingan mewarna, persembahan pentas, serta permainan popular seperti Supa Dupa, Popcorn dan Cotton Candy yang menjadi tarikan utama golongan cilik.

MPAJ juga menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma untuk pengunjung serta pengedaran susu percuma oleh Farm Fresh sebagai inisiatif mempromosikan amalan pemakanan sihat dalam kalangan masyarakat.

Menurut Hasrolnizam, acara seperti ini membuktikan bahawa pendekatan berteraskan komuniti mampu menjadi pemangkin perpaduan rakyat sambil memperkasakan gaya hidup aktif dan sihat.

“Kami galakkan penyertaan orang ramai kerana inilah peluang untuk bersukan, bersosial dan menyemai semangat kebersamaan dalam suasana selamat, sihat dan menggembirakan,” ujarnya.

MPAJ akan terus komited menganjurkan program berimpak seumpama ini sebagai sebahagian daripada usaha mewujudkan komuniti yang bersatu, sejahtera dan inklusif di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN