1,000 penduduk lega jalan rosak dibaiki

1,000 penduduk lega jalan rosak dibaiki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Penduduk sekitar Jalan Kampung Darat yang menghubungkan Changlun dan Kuala Nerang, di sini menarik nafas lega apabila jalan yang rosak sejak setahun lalu akan segera dibaiki bermula semalam.

Wakil penduduk, Othman Ali, 67, berkata, aduan mereka tentang kerosakan jalan yang tersiar dalam akhbar ini, segera mendapat perhatian kerajaan negeri dan wakil rakyat kawasan itu yang turun padang meninjau keadaan jalan utama penduduk enam kampung di situ.

“Alhamdulillah, setelah setahun menderita akhirnya jalan rosak yang menyebabkan kesengsaraan hidup penduduk akan segera dibaiki. Semalam, Exco dan wakil rakyat melawat kawasan dan mengarahkan agar kerja-kerja penurapan semula dilaksanakan hari ini.

“Kami dimaklumkan bahawa kerja-kerja ini akan mengambil masa seminggu sebelum disiapkan secara berperingkat sehingga hujung tahun. Penduduk rasa gembira dengan perkembangan ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini semalam.

Akhbar ini kelmarin melaporkan, lebih 1,000 penduduk dari enam kampung sekitar Jalan Kampung Darat, Changlun di sini merayu agar pihak terlibat segera membaiki laluan tersebut yang rosak teruk sejak lebih setahun lalu.

Penduduk yang terjejas adalah dari Kampung Kubang Betong, Kampung Kangar, Kampung Padang, Kampung Padang Halba, Kampung Darat dan Kampung Belukar.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar Kedah, Datuk Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria berkata, kerja pembaikan akan siap dalam tempoh seminggu bagi lapisan pertama sebelum dilengkapkan dengan lapisan akhir.

“Penduduk nampak puas hati apabila kita turun sendiri dan ambil tindakan segera. Pihak kontraktor juga beri jaminan kerja penurapan sementara akan dimulakan segera di kawasan kritikal,” katanya.

Jelasnya, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) sebelum ini terpaksa mengorek jalan itu bagi pemasangan paip memandangkan kawasan tersebut sempit dan melibatkan rumah penduduk. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN