SEPANG: Di sebalik sorakan menyambut kepulangan aktivis Global Sumud Flotilla (GSF), bekas wartawan, Zainal Rashid Ahmad atau lebih dikenali sebagai ZRA, memilih untuk terus pulang ke rumah secara senyap tanpa sebarang publisiti.
Hantaran itu dikongsikan melalui laman Facebook, Syahril A. Kadir, malam tadi bersama beberapa keping gambar memaparkan ZRA pulang ke kediamannya bersama rakan lain.
Menurut Syahril, suasana penuh emosi menyelubungi pertemuan mereka apabila masing-masing tidak dapat menahan sebak melihat keadaan ZRA yang kelihatan kurus dan keletihan selepas melalui pengalaman getir sepanjang misi kemanusiaan itu.
“Namun, itulah ZRA. Dia tidak meminta sanjungan atau pujian. Dia hanya mahu kembali menjalani kehidupan seperti biasa.
“Jangan ganggu dia, kerana dia sudah melaksanakan apa yang dia percaya dan perjuangkan selama ini,” katanya.
Tambah Syahril lagi, ZRA menyerahkan segala urusan perjuangannya kepada Allah SWT dan enggan dijadikan tumpuan selepas selamat pulang ke tanah air.
“Percayalah, dia tidak mahu semua itu,” ujarnya.
Terdahulu, kesemua 27 aktivis GSF selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini, kira-kira pukul 10.07 malam dengan menaiki pesawat Emirates. – UTUSAN