KUALA LUMPUR: YTL Construction melakar kejayaan dengan menerima Anugerah Cemerlang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NKKP) 2025 bagi kategori pembinaan (Kendalian Bangunan) yang dianugerahkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).
Pengiktirafan berprestij itu mengiktiraf komitmen berterusan syarikat dalam memastikan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan di semua tapak pembinaan sentiasa berada pada tahap tertinggi.
Ia seiring dengan prinsip teras syarikat iaitu Building the Right Thing (membina dengan selamat, bertanggungjawab dan mampan)
Pengarah Eksekutif YTL Construction, Yeoh Keong Yuan berkata, penganugerahan itu mencerminkan dedikasi dan kerja keras seluruh pasukan syarikat dalam mewujudkan persekitaran kerja yang selamat untuk semua pekerja dan rakan industri.
“Anugerah ini mencerminkan usaha gigih seluruh pasukan YTL Construction dalam memastikan keselamatan dan kesihatan pekerjaan sentiasa menjadi keutamaan di setiap projek kami.
“Kami amat berbesar hati dan berterima kasih kepada JKKP atas pengiktirafan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kejayaan itu turut menjadi pemangkin kepada YTL Construction untuk terus memperkukuh budaya keselamatan di semua peringkat operasi, termasuk memperluas latihan keselamatan, audit dalaman serta pemantauan berterusan di tapak pembinaan.
“Keselamatan bukan hanya tanggungjawab individu, tetapi merupakan nilai teras yang menjadi asas kepada setiap tindakan dan keputusan dalam organisasi kami,” katanya.
Anugerah NKKP merupakan pengiktirafan tertinggi peringkat kebangsaan yang diberikan kepada organisasi dan individu yang menunjukkan pencapaian cemerlang dalam aspek keselamatan serta kesihatan pekerjaan di Malaysia.
YTL Construction, anak syarikat kumpulan YTL, dikenali sebagai antara peneraju industri pembinaan negara yang menitikberatkan aspek keselamatan, inovasi serta kelestarian dalam setiap projeknya.
Dengan pengiktirafan terbaharu ini, syarikat bertekad untuk terus memperkukuh amalan keselamatan menyeluruh bagi memastikan setiap projek yang dijalankan bukan sahaja memenuhi piawaian industri, malah menjadi penanda aras kepada kecemerlangan dalam sektor pembinaan negara.-UTUSAN