Young Tigers puas kutip 1 mata, yakin menang lawan New Zealand

Young Tigers puas kutip 1 mata, yakin menang lawan New Zealand

Pemain Malaysia, Hadi Handzalah membuat pukulan walaupun Cuba dihalang pemain Australia Toonen Lucas pada Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 (B-21) tahun Piala Sultan Johor di Perbadanan Stadium Hoki Johor, Taman Daya, Johor Bahru disini. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ketua jurulatih Hoki Remaja Negara, Nor Saiful Zaini Nasiruddin tetap berpuas hati dengan aksi yang diperagakan pemain walaupun sekadar seri 1-1 berdepan Australia dalam Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 Tahun Piala Sultan Johor (SOJC), malam tadi.

Menurut Nor Saiful Zaini, corak permainan skuad Young Tigers jelas menunjukkan peningkatan berbanding perlawanan pertama berdepan Pakistan yang menyaksikan pasukannya dibelasah 7-2.

Meskipun gagal memperoleh kemenangan, katanya, pemain bermain secara sepasukan dengan baik dan mengekalkan disiplin taktikal sepanjang permainan.

“Kita bermain secara terbuka dan tidak berlebihan sehingga ke kawasan penalti lawan seperti dilakukan semalam kerana tidak boleh memberi ruang kepada lawan untuk melakukan serangan balas.

“Kita cuba menguasai bahagian tengah dan memaksa lawan menyerang di bahagian sayap dan dari situ kita sekat mereka. Tapi pada penghujung perlawanan, kita bermain terlalu rendah dan ini perlu diperbaiki.

“Sebenarnya, kita boleh memenangi perlawanan malam tadi, kita mempunyai beberapa peluang menerusi pukulan sudut penalti, gol padang dan serangan balas namun tidak berjaya disudahkan dengan baik,” katanya.

Pada perlawanan itu, Young Tigers membuka jaringan hasil pukulan sudut penalti yang disudahkan Azimuddin Shakir Kamaruddin pada minit ke-13 sebelum Australia menyamakan kedudukan pada minit ke-47, hasil pukulan sudut penalti yang dijaringkan Ian Grobbelaar.

Dalam pada itu, beliau turut memuji prestasi penjaga gol muda negara, Haziq Muizuddin Hairul Mizan yang turut dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan setelah beraksi cemerlang menafikan percubaan berbahaya Australia.

Katanya, keputusan positif itu memberi keyakinan kepada pemain untuk berdepan New Zealand, petang ini (Selasa).

“Corak permainan New Zealand tidak banyak berbeza dengan Australia, saya nampak pemain mampu menyaingi Australia, saya yakin mereka dapat lakukan perkara sama menentang New Zealand.

“Yang penting, kita perlu bijak bertahan dan tidak beri peluang untuk lawan dapatkan pukulan sudut penalti.

Habis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN