PETALING JAYA: Yayasan MR D.I.Y., cabang tanggungjawab sosial korporat (CSR) Kumpulan MR D.I.Y. (M) Berhad, menerima pengiktirafan berprestij sebagai Ikon Perpaduan Negara di Forum Perpaduan Negara 2025.
Anugerah tersebut mencerminkan usaha cemerlang Yayasan MR D.I.Y. dalam memupuk perpaduan sosial, keharmonian dan keterangkuman dalam kalangan rakyat Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan MR D.I.Y., Zaleha Mohd Mydin berkata, pengiktirafan itu menjadi bukti kepada usaha berterusan dalam memupuk keharmonian antara rakyat Malaysia.
“Yayasan MR D.I.Y. amat berbesar hati menerima gelaran Ikon Perpaduan Negara dan menyedari bahawa perpaduan merupakan asas kepada sebuah negara yang teguh dan progresif.
“Ia turut memperkukuh azam kami untuk terus melaksanakan inisiatif yang mempromosikan persefahaman, keprihatinan dan semangat solidariti dalam semua komuniti,” katanya dalam kenyataan.
Pengiktirafan tersebut turut mengukuhkan lagi misi Yayasan MR D.I.Y. sebagai pemangkin perpaduan yang komited dalam mewujudkan peluang komuniti dari pelbagai lapisan masyarakat untuk bersatu dan membina ikatan yang berkekalan.
Yayasan MR D.I.Y. ditubuhkan pada 2023 menerajui pelaksanaan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Kumpulan MR D.I.Y dan telah melaksanakan pelbagai program impak positif kepada lebih 95,000 individu di seluruh Malaysia pada 2024.
Forum Perpaduan Negara 2025 yang dianjurkan oleh KSI Strategic Institute for Asia Pacific membawa tema “Memperkukuh Toleransi dan Kesederhanaan Demi Perpaduan, Keharmonian dan Keterikatan”.
Forum tersebut menghimpunkan pemimpin kerajaan, wakil sektor perniagaan, pertubuhan komuniti dan suara belia dalam perbincangan yang bermakna tentang bagaimana Malaysia dapat mengekalkan dan memperkukuh perpaduan dalam menghadapi kepelbagaian yang semakin meningkat. – UTUSAN










