Ya, termasuk isteri orang! – Ahmad Irsyadi terima mesej nakal - Utusan Malaysia

Ya, termasuk isteri orang! – Ahmad Irsyadi terima mesej nakal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tampil dalam drama Ibu Aji di platform digital Karya Reels, Ahmad Irsyadi tiba-tiba jadi bualan hangat di media sosial.

Babak panas melibatkan dirinya termasuk adegan ‘menjilat kaki’ Ellie Suriaty yang tular mencetuskan gelombang kecaman hebat daripada netizen yang menganggap lakonannya terlalu berani.

Lebih panas lagi, selepas babak itu tular, Ahmad turut dikatakan ada menerima ‘serangan mesra’ di ruangan mesej peribadi daripada wanita-wanita berusia termasuk isteri orang!
Hendak tahu apa cerita, berikut penjelasan Irsyadi.

Ramai tahu drama Ibu Aji ini diinspirasikan daripada kisah sebenar. Apa yang membuatkan anda berani menerima naskhah yang penuh kontroversi ini?

Kalau kita tengok, kisah sebenar tentang ajaran sesat yang terjadi dalam negara ada yang jauh lebih teruk. Dalam Ibu Aji, kita hanya tunjukkan sisi pengajaran. Watak lakonan Fazlina Ahmad Daud pun banyak memberi mesej tentang hidup berlandaskan al-Quran dan hadis. Watak saya, Muhsin pula menunjukkan bagaimana seseorang boleh terpesong bila terlalu taasub. Saya yakin orang boleh menilai mana yang baik dan buruk serta ambil pengajaran daripadanya.

Ada satu babak yang viral, babak jilat kaki si Ibu Aji itu. Ramai terkejut dan kecam. Boleh jelaskan sedikit tentang babak itu?

Ramai salah faham. Itu bukan betul-betul pun. Ada cheat dan teknik kamera. Tapi biasalah, bila orang tengok teaser, mereka terus buat andaian. Sebenarnya babak itu simbolik tentang ketundukan dan kehilangan maruah. Pengarah, Amorizan, banyak bagi tunjuk ajar pada saya. Dia tarik saya ke tepi sebelum babak, tunjuk ekspresi muka, cara bawa emosi. Jadi, semuanya dilakukan secara profesional.

Adakah anda terkesan dengan kecaman selepas babak itu tular?

Terus-terang, saya sudah bersedia. Sebelum penggambaran pun, Kak Ellie Suriaty pesan, ‘Irsyadi, kita akan kena kecam. Tapi ini untuk kebaikan’. Jadi, saya anggap kecaman itu ujian. Yang penting niat kita betul, untuk sampaikan pengajaran.

Ramai penonton kata mereka kasihankan watak anda, malah ada yang tertarik dengan karisma Muhsin. Dengarnya anda ada terima ‘DM nakal’ selepas tayangan, betulkah?

Memang ada, banyak juga. Yang saya terkejut, kebanyakan datang daripada wanita berusia, malah ada isteri orang. Ada yang ajak keluar makan, ada yang hendak hantar hadiah, ada juga yang hantar gambar-gambar off shoulder. Tapi saya tak layan lah, sekadar baca saja. Saya bukan jenis orang begitu.

Sebelum ini anda pernah berlakon, tapi mungkin belum menonjol. Adakah anda berharap Ibu Aji akan menjadi batu loncatan?

Saya pernah berlakon sebelum ini, tapi belum ada rezeki nak menyerlah. Kalau rezeki saya naik sebab bakat, saya syukur. Tapi kalau naik sebab kontroversi, saya pun tak boleh tolak. Harapan saya, orang nampak bakat saya, bukan hanya babak panas dalam drama kontroversi berkenaan. Paling utama, ambil mesej positif yang diterapkan dalam drama tersebut.

Sebagai pelakon baru, apakah pengajaran terbesar yang anda dapat daripada Ibu Aji?

Saya belajar bahawa lakonan bukan sekadar depan kamera. Ia tentang tanggungjawab pada penonton, pada mesej yang dibawa. Bila orang tengok Ibu Aji, saya harap mereka bukan tengok yang negatif, tapi ambil pengajaran daripada perjalanan Mushin. Kadang-kadang, yang buruk tu pun ada kebaikan tersembunyi.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN