Warga emas hilang selepas keluar cari sayur di kebun

Warga emas hilang selepas keluar cari sayur di kebun

PASUKAN mencari dan menyelamat bersama penduduk kampung giat menjalankan operasi mencari warga emas yang dilaporkan hilang di kebun sawit di Chabau, Jasin, malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Seorang wanita warga emas berusia 73 tahun dilaporkan hilang selepas keluar mencari sayur di kawasan kebun sawit di Chabau, di sini, sejak petang semalam.

Mangsa, Zoiyah Ismail atau lebih mesra disapa Mak Yah, dilihat meninggalkan rumahnya sekitar pukul 2 petang untuk mencari jantung pisang dan sayur-sayuran lain namun sehingga malam tidak pulang.

Anaknya, Hanisah Saiman, 40, berkata kehilangan ibunya disedari apabila tidak kembali seperti kebiasaan.

“Ibu memang selalu ke kebun sawit seorang diri untuk mencari sayur-sayuran, tetapi semalam dia tidak pulang seperti kebiasaan. 

“Saya merayu bantuan orang ramai, khususnya penduduk kampung berhampiran, agar sama-sama membantu mencari ibu saya,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini. 

Menurut Hanisah, usaha mencari turut dibantu penduduk kampung dari sekitar Chabau dan Simpang Bekoh sebaik berita kehilangan dimaklumkan.

Dalam pada itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin, Penguasa Bomba Kanan II Noorsyahlan Omar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.28 malam.

“Pasukan bomba menerima panggilan pada pukul 10.28 malam dan seramai tujuh anggota bergegas ke lokasi bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat. 

“Operasi SAR dihentikan sementara pukul 1 pagi kerana faktor keselamatan sebelum disambung semula pada 8 pagi dengan radius pencarian satu hingga dua kilometer,” jelasnya.

Tambah beliau, operasi itu dijalankan bersama pasukan polis serta penduduk kampung di kawasan kebun sawit berkenaan dan diteruskan sehingga mangsa ditemui. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN