Waran tangkap sudah dikeluarkan kepada menantu Muhyiddin - Utusan Malaysia

Waran tangkap sudah dikeluarkan kepada menantu Muhyiddin

MOHD. KHALID ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Waran tangkap terhadap menantu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan telah dikeluarkan bagi menghadapi pertuduhan pecah amanah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, Muhammad Adlan dipercayai berada di luar negara dan tindakan sedang diambil ketika ini dengan kerjasama negara berkaitan.

“Insya-Allah, kita akan cuba yang terbaik untuk menyelesaikan perkara ini.

“Setakat ini, kita belum menerima sebarang maklumat daripada Polis Antarabangsa (Interpol). Mungkin SPRM boleh menjawab lebih lanjut berhubung perkara itu,” katanya selepas melakukan tinjauan persiapan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Terdahulu, sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan, Muhammad Adlan yang melarikan diri lebih dua tahun lalu, kini dipercayai menjalani kehidupan mewah di sebuah negara Asia Barat.

Beberapa gambar yang dikongsi kepada akhbar terbabit menunjukkan Muhammad Adlan bersama beberapa kenamaan dari Asia Barat.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, siasatan terhadap kes itu bermula pada 13 Mac 2023 selepas laporan rasmi diterima.

“Antara Mei hingga Ogos 2023, pegawai penyiasat menghubungi Muhammad Adlan berkali-kali melalui panggilan telefon, WhatsApp dan surat rasmi bagi memintanya hadir ke Ibu Pejabat SPRM.

“Apabila gagal hadir, SPRM mengambil beberapa tindakan termasuk mendapatkan waran tangkap dari Mahkamah Majistret, Shah Alam pada 7 September 2023, selain memohon Notis Merah Interpol melalui Jabatan Peguam Negara (AGC) dan menyerahkan dokumen penuh kepada Interpol pada Oktober 2023.

“Selain itu, SPRM juga bekerjasama dengan Jabatan Imigresen bagi membatalkan pasport mereka antara Ogos dan September 2023, selain mengemukakan beberapa laporan susulan kepada Interpol sepanjang 2024 dan 2025,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN