PETALING JAYA: Seorang bekas kakitangan sebuah badan berkanun ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat rasuah membabitkan sindiket penyelewengan dana bantuan peruntukan wang zakat kira-kira RM120,000, bagi 28 pemohon yang tidak layak.
Suspek wanita berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira pukul 4.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kuala Lumpur.
Perintah reman selama empat hari sehingga 22 Oktober ini dikeluarkan Majistret Farah Nabihah Muhammad pagi tadi.
Menurut sumber, suspek disyaki meminta dan menerima wang rasuah bernilai kira-kira RM2,500 dan melakukan perbuatan tersebut pada Mac lalu.
“Suspek dipercayai menerima wang rasuah melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank syarikat miliknya,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Mohamad Zakkuan Talib ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009. – UTUSAN