Denda 100,000 baht jika guna krim pelindung matahari beracun di kawasan terumbu karang di Thailand - Utusan Malaysia

Denda 100,000 baht jika guna krim pelindung matahari beracun di kawasan terumbu karang di Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Pihak berkuasa Thailand memberi amaran keras kepada pelancong penggunaan krim pelindung matahari yang mengandungi bahan kimia terlarang di taman laut boleh dikenakan denda sehingga 100,000 baht (RM12,943).

Langkah tegas itu diambil sebagai sebahagian daripada kempen nasional bagi melindungi terumbu karang negara yang semakin terjejas akibat pencemaran bahan kimia daripada produk penjagaan kulit.

Ketua Pengarah Jabatan Taman Negara, Hidupan Liar dan Pemuliharaan Tumbuhan (DNP), Atthaphol Charoenchansa pada Khamis mengumumkan bahawa krim pelindung matahari yang mengandungi Oxybenzone, Octinoxate, 4-Methylbenzylidene Camphor dan Butylparaben kini diharamkan penggunaannya di semua taman laut di Thailand.

Beliau menjelaskan bahawa bahan kimia tersebut memberi kesan terus kepada ekosistem marin kerana ia menghalang perkembangan anak karang, mengganggu proses pembiakan serta menyebabkan pemutihan karang yang akhirnya boleh membawa kepada kematian terumbu karang.

Atthaphol turut menyeru pelancong supaya menggunakan produk mesra alam yang dilabelkan sebagai selamat untuk terumbu karang atau mesra terumbu karang, iaitu krim pelindung matahari yang bebas daripada bahan kimia berbahaya dan tidak menjejaskan hidupan laut.

Dalam masa sama, pihak jabatan turut mengingatkan semua pelawat agar mematuhi peraturan taman laut seperti tidak menyentuh atau memijak terumbu karang, menjaga jarak sekurang-kurangnya dua meter daripada kawasan karang, tidak membuang sampah ke laut dan sentiasa mematuhi arahan pegawai taman.

Pesalah boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 20 dan Seksyen 47 Akta Taman Negara 2019, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum sebanyak 100,000 baht.

Semua taman laut di seluruh negara telah diarahkan untuk menguatkuasakan larangan ini dengan ketat serta meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan memelihara ekosistem marin.

Usaha berterusan ini bukan sahaja bertujuan untuk melindungi alam sekitar, tetapi juga memastikan industri pelancongan Thailand kekal mampan pada masa hadapan.

Menurut laporan KhaoSod English, terumbu karang Thailand merupakan antara tarikan utama jutaan pelancong setiap tahun, namun kesan perubahan iklim dan aktiviti manusia kini memaksa kerajaan meningkatkan langkah pemuliharaan secara lebih serius. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN