KUALA LUMPUR: Wanita MyWira Accelerator menyasarkan untuk memperkasa lebih 100,000 wanita dengan kemahiran dan peluang pekerjaan berimpak tinggi menjelang 2030.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, inisiatif tersebut mencerminkan komitmen kerajaan untuk membina tenaga kerja inklusif dan bersedia menghadapi perubahan struktur ekonomi global.
“Melalui TalentCorp, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) sedang melatih wanita untuk menceburi sektor berimpak tinggi seperti kecerdasan buatan (AI) dan tenaga boleh diperbaharui, bagi memastikan bakat tempatan sejajar dengan keperluan ekonomi masa hadapan.
“Jurang gaji antara jantina menunjukkan penyusutan ketara, apabila perbezaan median menurun daripada RM211 pada 2023 kepada hanya RM18 pada Mac 2025.
“Hampir 50 peratus syarikat tersenarai awam di Malaysia juga kini mempunyai sekurang-kurangnya 30 peratus pengarah wanita,” katanya semasa Majlis Pelancaran Wanita MyWira Accelerator di sini semalam.
Beliau berkata, kerajaan turut memperkenalkan pelbagai dasar mesra keluarga termasuk hak kepada Aturan Kerja Fleksibel (AKF), potongan cukai sehingga RM500,000 kepada majikan yang melaksanakannya serta potongan cukai 50 peratus bagi cuti bergaji untuk penjagaan keluarga.
“Belanjawan 2026 pula memperluaskan pelepasan cukai penjagaan anak kepada kanak-kanak berumur enam hingga 12 tahun.
“Melalui inisiatif ini, kerajaan ingin menghapuskan halangan penyertaan wanita dalam pasaran kerja dengan menekankan latihan pekerjaan fleksibel serta memupuk tempat kerja yang mesra penjagaan dan keluarga,” katanya.
Pelancaran itu turut menandakan penyertaan rasmi Malaysia dalam Rangkaian Global Gender Parity Accelerator Forum, sekali gus menjadikan negara ini yang pertama di ASEAN menyertai platform global tersebut bagi memperkukuh penyertaan ekonomi wanita.
Bagi tahun pertama pelaksanaan, sebanyak 1,000 wanita akan dilatih di bawah program MyMahir TalentCorp, dengan kadar penempatan pekerjaan disasarkan pada 80 peratus dalam tempoh enam bulan selepas tamat latihan.
Program itu turut mendapat sokongan 1,000 syarikat tempatan melalui pelaksanaan amalan kerja fleksibel, peluang program kembali kerja serta keutamaan kepada pengambilan graduan wanita.
Model pelaburan bersama bernilai RM15 juta diperuntukkan bagi menjayakan fasa awal program tersebut. – UTUSAN










