BATU PAHAT: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menyatakan sokongan untuk memastikan pendidikan berteraskan teknikal dan vokasional ini bukan lagi pilihan kedua malah ianya mampu untuk diiktiraf sebagai arus perdana modal insan negara.
Dengan terlahirnya pelajar daripada kelompok ini, ia secara tidak langsung membantu kerajaan negeri Johor serta terus fokus dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran khususnya dalam bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).
Naib Canselor UTHM, Prof. Dr. Mas Fawzi Mohd. Ali berkata, dengan adanya komitmen ini, ia juga mampu membina masyarakat di negeri ini berdaya saing di peringkat global, inklusif dan peduli dengan mengejar kemajuan serta pembangunan.
Katanya, setiap tahun pelajar yang berjaya menamatkan pengajian di UTHM lebih daripada 1,000 orang dan kebanyakannya berlatarbelakang pendidikan berteraskan TVET yang bukan sahaja cemerlang ilmu tetapi bersedia menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0 serta era digitalisasi global.
“Pendidikan sekarang ini tidak hanya mengejar apa sahaja yang tertulis di dalam buku tetapi mampu mencipta makna atau manfaat serta memberikan nilai tambah kepada masyarakat,” katanya dalam ucapannya ketika perasmian Seminar Pendidikan Johor Kali Ke-4 (SPJ-IV) di Dewan Sultan Ibrahim, UTHM, di sini hari ini.
Menurut Mas Fawzi, dengan tema ‘Pendidikan Untuk Kesejahteraan Sosial: Menginspirasikan Inovasi dan Kepemimpinan di Era Malaysia Madani, seminar ini bukan sekadar ruang untuk pelajar membina kerjaya tetapi melahirkan insan yang seimbang dan berdaya saing.
Ujarnya, seminar ini turut dijadikan platform bukan sahaja ruang akademik tetapi sebagai pertemuan minda di mana cendikiawan, pendidik, pelajar dan penggubal dasar dapat berkongsi pandangan, menyemai inovasi serta memperkasa jaringan kepakaran masing-masing. – UTUSAN










