UPM perkasa pertanian bandar demi kelestarian masyarakat

UPM perkasa pertanian bandar demi kelestarian masyarakat

Puteri Edaroyati Megat Wahab (dua dari kiri) dalam forum ‘Pertanian Bandar & Ekosistem Sosial: Komuniti, Teknologi dan Kelestarian’ di Persidangan Komuniti Pertanian Kebangsaan (PKPK) 2025 di Universiti Putra Malaysia, Serdang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Universiti Putra Malaysia (UPM) memainkan peranan dalam memperkasa pembangunan pertanian bandar yang menjadi antara tonggak kepada agenda keselamatan makanan dan kelestarian negara.

Ketua Jabatan Sains Tanaman, Fakulti Pertanian UPM, Dr. Puteri Edaroyati Megat Wahab berkata, UPM bukan sahaja menjalankan penyelidikan (R&D) dalam bidang pertanian bandar, malah turut berkongsi inovasi dan teknologi dengan komuniti melalui program latihan dan pemindahan ilmu serta latihan praktikal.

“Inisiatif ini bertujuan memperkukuh pengetahuan dan kemahiran masyarakat bandar dalam mengusahakan tanaman secara mampan, efisien dan mesra alam,” katanya pada sesi forum di Persidangan Komuniti Pertanian Kebangsaan (PKPK) 2025, di sini, semalam.

Katanya, pertanian bandar bukan sekadar aktiviti bercucuk tanam, tetapi satu pendekatan inovatif yang menyatukan keperluan makanan, kesejahteraan komuniti dan penjagaan alam sekitar.

“Pertanian bandar bukan hanya tertumpu kepada penghasilan tanaman seperti sayur-sayuran, herba dan buah-buahan tetapi juga berperanan membentuk hubungan sosial yang harmoni serta memupuk nilai kelestarian dalam kalangan masyarakat bandar,” ujarnya.

Menurut Puteri, penglibatan komuniti dalam aktiviti pertanian bandar membuktikan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan sumber makanan lestari semakin meningkat.

“Pelibatan pelbagai lapisan masyarakat ini bukan sahaja menggalakkan kerjasama komuniti, malah memupuk semangat gotong-royong dalam menjayakan kebun komuniti masing-ma­sing,” katanya.

Beliau menegaskan, pertanian bandar kini dilihat bukan sahaja sebagai sumber makanan tambahan bagi penduduk bandar, tetapi juga wadah memperkasa pendidikan komuniti dan kesedaran terhadap tanggungjawab menjaga alam sekitar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN