KUALA TERENGGANU: UMNO Terengganu mengintai sekurang-kurangnya 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berpotensi dirampas parti itu bagi memecah dominasi Perikatan Nasional (PN) di negeri ini pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku berkata, berdasarkan penilaian semasa dan faktor-faktor sampingan lain, parti itu dilihat mempunyai peluang menawan sekurang-kurangnya 10 kerusi walaupun bukan dalam majoriti undi yang besar.
Tanpa memperinci senarai kerusi-kerusi DUN tersebut, beliau berkata, sasaran itu boleh menjadi kenyataan dengan syarat jentera dan pemimpin UMNO Terengganu bersatu-padu dan mengelakkan pertikaian sepanjang kempen PRN itu kelak.
“Kita ada harapan (menang) kira-kira 10 kerusi, bukan sudah putih tetapi ada harapan,” katanya ketika ditemui.
Keputusan PRN Terengganu pada 2023 menyaksikan PN mencipta kemenangan mutlak di semua 32 DUN ditandingi hasil gabungan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Antara kerusi yang dikatakan UMNO boleh memberi tentangan dalam PRN akan datang ialah i Seberang Takir, Telemong, Permaisuri dan Hulu Besut.
Menurut Nik Dir, UMNO Terengganu sedang bersiap sedia menghadapi PRN akan datang termasuk meneliti calon-calon yang bersesuaian untuk diketengahkan mengikut sentimen dan lokasi.
Katanya, calon-calon berkenaan boleh terdiri daripada pemimpin UMNO atau orang luar daripada parti yang diterima masyarakat di tempat mereka diletakkan bertanding kelak. – UTUSAN










