Umar sudah sihat, terima kasih rakyat Malaysia

Umar sudah sihat, terima kasih rakyat Malaysia

NURHAFIZAH LOKAMAN bersama anaknya Umar Al Mukhtar Muhammad Aliffudin ditemui di kediamannya di Taman Sri Nyior, Kluang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Bayi 14 bulan menghidap penyakit Biliary Atresia sejak dilahirkan beransur pulih setelah menjalani pembedahan pemindahan hati dengan ibunya di Hospital Renji di Shanghai, China pada 3 September lalu setelah mendapat perhatian rakyat Malaysia.

Menurut ibu kepada Umar Al Mukhtar Muhammad, Nurhafizah Lokaman, 31, pemindahan yang menggunakan 30 peratus dari hatinya itu telah membolehkan anaknya menjalani kehidupan ceria seperti kanak-kanak lain berbanding sebelum pembedahan dilakukan.

“Kini Umar akan menjalani pemeriksaan susulan setiap dua minggu sekali bagi memastikan keadaan dirinya tidak mengalami sebarang impak lain selepas pemindahan hati itu.

“Walaupun keadaannya bertambah sihat dan semakin cergas, doa orang ramai dimohon agar dia terus sihat dan membesar dengan baik,” katanya kepada Mingguan Malaysia selepas menerima kunjungan Pengurus Eksekutif Yayasan Prihatin Kluang (YPK), Zainani Jamaluddin di kediamannya di Taman Sri Nyior, Kluang semalam.

Ujarnya, keluarganya yang tidak mempunyai apa-apa sumber kewangan untuk pembedahan itu terkejut apabila kutipan RM158,000 yang diperlukan berjaya dikumpul dalam masa hanya sehari sebaik penderitaan anaknya disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 22 Ogos lalu.

“Kini Umar sudah jauh le­bih baik daripada sebelumnya, malah dia kelihatan lebih riang, cergas dan sihat, doakan kesihatannya berpanjangan,” katanya.

Sebelum ini, akhbar ini melaporkan sepasang suami isteri merayu keprihatinan orang ramai untuk membantu mendapatkan dana bagi menampung kos pembedahan pemindahan hati anak mereka yang kini berhadapan dengan penyakit Biliary Atresia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN