Ujian demi ujian dihadapi MB Perlis

Ujian demi ujian dihadapi MB Perlis

MOHD. SHUKRI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

DALAM satu majlis pada Sabtu lalu, Mohd. Shukri Ramli seperti biasa tenang menjawab soalan demi soalan pemberita yang menuntut penjelasan mengenai isu audio tular mirip suara beliau yang didakwa berunsur fitnah dan penghinaan terhadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Pe­rempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid.

Menteri Besar Perlis itu tidak mengesahkan sama ada audio itu tulen atau sebaliknya dan menyerahkan kepada pihak berkuasa serta sedia memberikan kerjasama.

Ujian yang melanda Mohd. Shukri kali ini dilihat lebih berat berbanding sebelum ini. Bagaimanapun, Mohd. Shukri terus kuat dan bertahan dalam meneruskan pentadbiran se­perti biasa sebagai Menteri Besar.

Pada Mei tahun lalu, Mohd. Shukri berdepan ujian pertama apabila anaknya didakwa atas kes pemalsuan dokumen tuntutan palsu.

Anak kepada Menteri Besar itu didakwa atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu RM19,505.10 berkaitan perkhidmatan menyediakan minuman untuk kegunaan Raja Perlis di Hospital Tuanku Fauziah (HTF).

Dalam menangani isu tersebut, Mohd. Shukri cukup ‘gentle­man’ dengan menegaskan tidak ada apa yang hendak disembunyikan dan beliau langsung tidak menyalahkan mana-mana pihak dan jika terbukti anaknya itu betul-betul bersalah, ambillah tindakan.

Isu itu reda, Mohd. Shukri meneruskan pentadbiran se­perti biasa.

Pada Jun lalu, Mohd. Shukri sekali lagi teruji apabila tewas dalam pemilihan jawatan Yang Dipertua (YDP) Pas kawasan Arau dan di peringkat Pusat pula, beliau turut gagal menempatkan diri dalam kalangan 18 Ahli Jawatankuasa (AJK) yang dipilih dalam pemilihan bersempena Muktamar Tahunan Pas Ke-71 di Kedah.

Bagaimanapun beliau dilantik semula selepas itu.

Dalam isu audio yang tular itu, ia menjadi serius kerana membabitkan institusi diraja dan jika terbukti sahih, ia berkemungkinan bakal memberi kesan besar kepada kedudukan Menteri Besar itu.

Isu rakaman suara berkenaan kini diambil alih polis Bukit Aman dan kes itu akan disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bukit Aman. Setakat ini, masih belum ada perkembangan.

Persoalan lebih besar ketika ini, bukan hanya tertumpu kepada siapa individu atau dalang yang rekod dan sebar dipercayai dalam kalangan dalaman Pas sendiri, namun jika audio tersebut terbukti suara Menteri Besar, ia boleh dikaitkan sebagai penghinaan terhadap institusi diraja. Ia perkara serius jika benar.

Kita tunggu perkembangan siasatan kes berkenaan dan dalam sama elakkan daripada sebarang polemik yang boleh menjejaskan pentadbiran negeri ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN