ALOR SETAR: Seramai 1,934 mangsa dari tujuh daerah ditempatkan di 19 pusat pemindahan sementara (PPS) ekoran kediaman mereka dilanda banjir sejak Khamis lalu.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan, rekod setakat pukul 8 pagi ini membabitkan penduduk daripada 602 keluarga yang terjejas dalam bencana itu.
Kulim paling teruk terjejas dengan 1,294 mangsa daripada 372 keluarga berlindung di sembilan PPS yang diaktifkan, namun trend mencatatkan penurunan apabila terdapat mangsa yang sudah dibenarkan pulang.
Sementara itu, seramai 291 mangsa terlibat banjir di Baling yang membabitkan 119 keluarga dari 11 kampung dalam Mukim Siong, Mukim Pulai dan Mukim Baling/Bongor.
“Manakala 111 penduduk daripada 32 keluarga di Pendang berada di sebuah PPS yang diaktifkan sejak petang semalam setelah enam mukim di daerah itu dinaiki air.
“Daerah lain yang terjejas adalah Pokok Sena (102 mangsa); Sik (79); Padang Terap (34) dan Kubang Pasu (23). Kesemua mereka berada di lima PPS yang turut dibuka sejak semalam,” katanya di sini, hari ini.
PPS Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Choong Cheng di Kuala Muda yang sebelum ini menempatkan penduduk Kampung Huma yang dilanda ombak besar dan air pasang sudah ditutup setelah kesemua 52 mangsa dibenarkan pulang.
Dalam pada itu, Sungai Laka dan Sungai Padang Terap di Kubang Pasu; Sungai Pendang dan Sungai Titi Kerbau di Pendang mencatatkan paras bahaya dengan trend menaik, kecuali Sungai Perik di Padang Terap yang menurun. – UTUSAN










