SEREMBAN: Sebuah struktur tugu yang didakwa menyerupai simbol Freemason di Bandar Tasik Senangin, Lenggeng di sini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk.
Difahamkan, tugu berkenaan dibina kira-kira dua minggu lalu tanpa mendapat kebenaran Majlis Bandaraya Seremban (MBS).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd. Asna Amin berkata, beliau menerima aduan daripada penduduk yang gusar dengan kewujudan tugu berkenaan kerana dikhuatiri boleh menimbulkan salah faham.
“Sebagai wakil rakyat kawasan, saya telah memanggil MBS bagi meredakan keadaan dan memastikan isu ini tidak menimbulkan ketegangan antara penduduk,” katanya.
Sementara itu, Datuk Bandar MBS, Datuk Ir. Ts. Masri Baharuddin berkata, pihaknya telah mengambil tindakan segera terhadap struktur tugu berkenaan.
Katanya, siasatan mendapati binaan dibuat di tempat awam.
“Satu notis halangan awam dikeluarkan, selain kawasan itu turut ditutup bagi menghalang sebarang penambahan bangunan,” katanya. – UTUSAN










