Tragedi pendaki, Azhan Rani dedah pernah ditinggalkan di Gunung Tahan - Utusan Malaysia

Tragedi pendaki, Azhan Rani dedah pernah ditinggalkan di Gunung Tahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Kematian seorang pendaki membuatkan saya teringat tragedi Gunung Tahan dulu waktu malam dalam hujan lebat bila ‘guide’ (pemandu arah) tinggalkan kita dari summit ke Kem Berlumut,”

Demikian kata pelakon, Azhan Rani yang mendedahkan dirinya juga pernah ditinggalkan pemandu arah ketika mendaki Gunung Tahan satu ketika dahulu.

Turut terkesan dengan kematian seorang pendaki Gunung Liang, Azhan berkata tragedi itu juga membuatkan dirinya terkenang detik cemas sewaktu sesat mencari arah pulang ke kem dalam keadaan hujan lebat.

“Saya hampir sesat redah trek dalam hujan. Dia dah lepak sedap kat kem. Kita sampai kem 10 malam basah lecun sejuk dengan khemah yang hampir nak roboh yang dia tak peduli pun,” katanya dalam hantaran di Threads.

Tambah Azhan, disebabkan serik diperlakukan sedemikian oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, dia terus membatalkan hasrat untuk meneruskan cabaran.

“Esoknya juga kita terus keluar dari trek itu walaupun sepatutnya kita tinggal lagi satu malam.

“Itu juga punca saya tak akan ke Gunung Tahan walau apa yang orang nak cakap. Pengalaman masing-masing,” ujarnya.

Dalam hantaran tersebut, pelakon drama Seribu Tahun itu menegaskan pihak pemandu arah serta pendaki seharusnya saling sepakat dalam memastikan aktiviti pendakian berjalan dengan lancar.

Katanya lagi, pemergian pendaki itu perlu dijadikan iktibar oleh pihak yang bertanggungjawab supaya mengutamakan keselamatan peserta agar dapat mengelakkan sebarang insiden mahupun kemalangan jiwa berlaku.

“Soal kalau pendaki lambat terlebih masa nak (kenakan) caj tambahan ke boleh sahaja runding.

“Tapi soal tanggungjawab keselamatan diutamakan dulu, yang dibayar ada tanggungjawab, yang membayar boleh sahaja bekerjasama .

“Harap ada banyak yang boleh kita belajar dan perbaiki dari tragedi ini. Al fatihah buat arwah,” katanya.

Azhan sebelum ini pernah menawan Gunung Kinabalu sebanyak empat kali, selain terlibat dalam ekspedisi mendaki Gunung Island Peak di Nepal bagi tujuan amal.

Pada Khamis lalu, pemergian seorang pendaki, Mustaqqeem Mansoor, 34, yang ditemukan meninggal dunia di puncak Gunung Liang di Tanjung Malim, Perak menjadi sorotan dalam kalangan masyarakat.

Difahamkan, Allahyarham ditemukan berseorangan dalam posisi seakan-akan tidur mengiring serta keadaan hidungnya mengeluarkan sedikit darah.

Mustaqqeem dari Sungai Petani, Kedah dilaporkan hilang ketika mendaki bersama 10 rakan dari Bukit Fraser, Pahang pada 10 Oktober lalu dan dijadualkan turun di Gunung Liang, di Perak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN