PETALING JAYA: Kejadian tikam membabitkan seorang pelajar sekolah menengah di Bandar Utama perlu menjadi iktibar dan peringatan kepada masyarakat agar lebih peka, mendengar dan memahami dunia anak-anak pada masa kini.
Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, bermula daripada kes Zara Qairina Mahathir dan gangguan seksual membabitkan kanak-kanak serta terkini kes tikam itu menuntut perubahan secara drastik dan holistik sebelum lebih ramai lagi menjadi mangsa.
Katanya, masyarakat perlu berganding bahu memperjuangkan keadilan untuk mangsa dan semua anak-anak demi menjamin masa depan lebih selamat dan penuh kasih sayang.
“Insya-Allah, marilah kita bersatu, memperjuangkan keadilan bukan hanya untuk mangsa tikam dan keluarganya, tetapi untuk setiap anak di tanah air ini,” katanya dalam Facebook.
Semalam, Nurul Izzah menziarahi keluarga mendiang pelajar itu bagi menyampaikan ucapan takziah beliau dan seluruh warga PKR.
Beliau berkata, nama pelajar itu tidak sepatutnya terpapar di muka depan akhbar dengan cara yang dilalui mendiang.
Katanya, namun kekuatan luar biasa ditunjukkan ibu kepada mendiang amat menyentuh hati dan menjadi dorongan untuk beliau terus memperjuangkan keadilan serta keselamatan semua kanak-kanak di negara ini.
“Sebagai seorang ibu yang juga pernah kehilangan anak, saya terasa pedihnya duka ini tiada pengganti.
“Walaupun tiada apa yang dapat mengubati luka kehilangan, saya berdoa semoga kebenaran yang akan dibongkar dapat menjadi sebuah pelukan, sedikit sebanyak mengubati hati yang sedang terluka,” katanya.
Pada Selasa lalu, negara dikejutkan dengan laporan kematian seorang pelajar perempuan yang dipercayai ditikam beberapa kali oleh rakan sekolahnya, seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun.-UTUSAN