Tindakan disiplin bukti tiada ahli kebal dalam Bersatu

Tindakan disiplin bukti tiada ahli kebal dalam Bersatu

RAZALI IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Tindakan Lembaga Disiplin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terhadap enam pemimpinnya termasuk dua ahli Parlimen membuktikan tiada mana-mana ahli kebal daripada peraturan parti berkenaan.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, keputusan itu menunjukkan ketegasan Bersatu dalam memastikan setiap ahli mematuhi perlembagaan serta tatacara yang ditetapkan tanpa mengira kedudukan.

“Bila ada pelanggaran prosedur operasi standard atau peraturan parti, memang Lembaga Disiplin perlu ambil tindakan. Ini bukan strategi politik tetapi proses biasa apabila pelanggaran berlaku. Kita serah sepenuhnya kepada Lembaga Disiplin untuk buat keputusan,” katanya ketika ditemui.

Menurut Razali, tindakan tersebut tidak melibatkan campur tangan kepemimpinan negeri dan tidak menjejaskan kekuatan Bersatu di peringkat akar umbi.

“Saya bukan ahli Lembaga Disiplin dan tidak terlibat dalam apa-apa keputusan. Ini bukti parti ada sistem dan prosedur yang perlu dihormati. Saya sampai ke hari ini tak pernah tahu apa gerakan yang dibuat oleh mereka, jadi biarlah lembaga yang uruskan mengikut proses dan SOP,” ujarnya.

Beliau turut menolak tanggapan bahawa tindakan itu mencerminkan perpecahan dalaman dalam Bersatu.

“Isu ini lebih kepada spekulasi luar. Dalaman parti semuanya tenang dan masih bersama kepimpinan sedia ada. Saya harap kepemimpinan Terengganu juga terus kekal tenang dan bersama-rapat dengan kerajaan negeri sekarang,” katanya.

Terdahulu, Lembaga Disiplin Bersatu memecat keahlian Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan serta menggantung keahlian selama satu penggal Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berhubung isu akuan bersumpah (SD) yang dikaitkan dengan usaha mendesak pengunduran presiden parti itu sebelum ini.

Empat lagi pemimpin akar umbi Bersatu yang turut dipecat ialah Mohd Azrudin Md Idris (Hang Tuah Jaya), Mohd Faizal Asmar (Pengerang), Mohd Fadhli Ismail (Ipoh Timur) dan Mohd Isa Mohd Saidi (Ampang). – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN