Tiga laporan polis terhadap Rafidah Ibrahim berkaitan isu roboh surau - Utusan Malaysia

Tiga laporan polis terhadap Rafidah Ibrahim berkaitan isu roboh surau

NOOR Hisam Nordin menyerahkan sijil penghargaan kepada bekas Timbalan Ketua Polis Perak, Zulkafli Sariaat pada Majlis Meraikan Pesara dan Bakal Pesara PDRM Kontinjen Perak di Ipoh. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis Perak mengesahkan menerima tiga laporan polis terhadap pelakon Rafidah Ibrahim berhubung dakwaan menghasut berkaitan isu perobohan bangunan surau lama di Kampung Seri Keramat, Pasir Puteh.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, laporan polis tersebut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh semalam dan setakat ini, tiada mana-mana individu termasuk Rafidah dipanggil untuk memberi keterangan.

“Keputusan untuk merobohkan bangunan lama surau itu akan diketahui pada Rabu depan.

“Kejadian protes dan bantahan menyebabkan perobohan bangunan tersebut terpaksa ditangguhkan sehingga mendapat keputusan mahkamah,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Meraikan Pesara dan Bakal Pesara Warga Kerja Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak Tahun 2025 di Mes Pegawai Kanan Polis, di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 105 pesara dan bakal pesara Kontinjen Perak tahun ini diraikan bagi menghargai khidmat bakti mereka kepada pasukan dengan masing-masing menerima sijil perkhidmatan, sijil penghargaan dan Sijil Simpanan Premium (SSP) Bank Simpanan Nasional (BSN).

Mengulas lanjut Noor Hisam memberitahu, tiada sebarang protes atau bantahan berlaku di surau berkenaan hari ini seperti yang diajak Rafidah menerusi video tular.

Dalam satu perkongsian video, Rafidah mendakwa tindakan meroboh bangunan surau terbabit bagi pembinaan jalan sebagai melampau.

Wanita itu turut mengajak orang ramai turun berhimpun di tapak surau terbabit pada 2 Oktober bagi menyokong bantahan tersebut.

Terdahulu, Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd. Annuar Zaini menasihatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan sebarang dakwaan tidak tepat berhubung isu sebuah bangunan yang digunakan sebagai surau lama di Kampung Seri Keramat.

Menurut beliau, isu bangunan surau itu telah lama selesai dengan kerajaan negeri telah memperuntukkan satu tapak baharu yang diwakafkan secara sah atas nama MAIPk, terletak kira-kira 250 meter dari tapak asal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN