KUALA TERENGGANU: Di sebalik deretan kedai di tingkat atas Kompleks Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di sini, terselit sebuah kedai kecil yang menjadi ruang bagi seorang lelaki yang setia ‘menghidupkan’ semula kasut-kasut lusuh sejak hampir 30 tahun lalu.
Itulah dunia Saidi Mohd., 58, tukang kasut berpengalaman yang sudah sebati dengan bau gam, kulit dan getah sejak lewat 1990-an.
Saidi yang berasal dari Manir dan kini menetap di Kuala Ibai berkata, minat terhadap kerja tangan sudah ada sejak muda namun dia tidak pernah menyangka bergelar tukang kasut sepenuh masa.
“Dulu semasa tamat sekolah, saya memang suka kerja tangan. Mula-mula tolong orang buat cincin dan ada juga cuba buat emas. Tetapi kemudian saya belajar baiki kasut dengan bapa saudara selepas selesai menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya ketika ditemui di sini.
Menurut Saidi, ketika itu dia sebenarnya tidak begitu berminat dengan kerja membaiki kasut namun keadaan ekonomi keluarga mendorongnya meneruskan kemahiran itu sebagai sumber rezeki.
“Minat sahaja tak cukup. Kalau nak hidup, kena ada kemahiran. Lama-lama bila sudah pandai, baru rasa seronok tengok hasil tangan sendiri,” kongsinya.
Menurutnya, sekitar akhir 1990-an, dia mula membuka gerai kecil sendiri di sekitar bandar raya ini sebelum berpindah ke kompleks itu dan tidak menyangka bertahan sehingga ke hari ini.
“Kalau dulu, masa ekonomi elok, ramai yang hantar kasut tetapi sekarang tak sama macam dulu. Kadangkala bukan sebab tak ada pelanggan tetapi kerana susah orang nak datang sebabnya letak kereta di sini susah, kalau silap letak kereta kena saman,” katanya.
Menariknya, antara kasut mencabar yang pernah dibaiki Saidi adalah kasut pelumba basikal dan kasut koboi untuk menunggang kuda.
“Setiap jenis kasut lain caranya. Kasut pelumba kena lembut dan tahan panas, kasut koboi pula tebal dan keras. Bila tengok bahan, saya dah tahu kulit jenis,” katanya yang mahir mengenal pasti jenis kulit hanya melalui corak liang pada permukaannya.
Walaupun pendapatan tidak seperti dahulu, Saidi tetap membuka kedainya setiap hari kecuali Jumaat dari pukul 10.30 pagi hingga 5.30 petang. – UTUSAN










