KUALA LUMPUR: Peguam mewakili Uqasha Senrose, Nurfarhana Abd Manap menjelaskan anak guamnya sudah tidak tahan menghadapi pergolakan rumah tangga bersama suami, Kamal Adli membuatnya nekad memfailkan cerai pada 1 Oktober lalu.
Jelas Nurfarhana, suami kepada Uqasha, Kamal Adli juga tidak melakukan sebarang usaha memujuk demi menyelamatkan rumah tangga.
“Apa yang dimaklumkan oleh Uqasha, tiada sesi pujukan oleh Kamal. Saya tak pasti kalau sebaliknya.
“Apa yang boleh kami katakan, Uqasha sudah tidak boleh bersabar dan tiada persefahaman. Itu sahaja.
“Tapi kalau kata selepas ni ada jodoh, Alhamdulillah. Ini sahaja jawapan Uqasha,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, hari ini.
Tambah Nurfarhana lagi, pihaknya juga tidak boleh mengulas lanjut dakwaan wujud orang ketiga mahupun spekulasi membabitkan kerjaya Kamal.
“Perkara itu saya tidak boleh komen kerana akan dibicarakan menerusi prosiding di hadapan hakim,” katanya.
Sepanjang sesi temu ramah Uqasha banyak berdiam diri dan menggeleng kepala namun berharap agar suaminya itu tampil memberikan kerjasama untuk memudahkan proses mahkamah.
“Saya cuma harap dia (Kamal) beri kerjasama.
“Jangan buat tidak hadir begini, saya pun ada kerja saya,” katanya.
Terdahulu, pelakon, Uqasha Senrose hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur ditemani peguam Nurfarhana Abd Manap sekitar pukul 9 pagi untuk prosiding pertama kes perceraian.
Bagaimanapun, Kamal tidak hadir ke mahkamah membuatkan prosiding perceraian ditangguhkan pada 28 Oktober.
Terdahulu rumah tangga pasangan berkenaan dikatakan mulai bergolak sejak April lalu, namun ia bukan berpunca daripada orang ketiga.
Difahamkan, Uqasha kini tidak lagi tinggal sebumbung dengan Kamal dan menetap di rumah ibunya.
Sebelum ini, beberapa hantaran berunsur luahan hati di media sosial milik Uqasha menarik perhatian ramai sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan netizen mengenai status rumah tangganya.
Uqasha Senrose dan Kamal Adli disatukan sebagai suami isteri pada 5 November 2021 dalam satu majlis di Janda Baik, Pahang. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira.-UTUSAN