Tidak mustahil wujud kategori Artis AI Terbaik di anugerah muzik - Utusan Malaysia

Tidak mustahil wujud kategori Artis AI Terbaik di anugerah muzik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBUAH stesen radio menerusi hantaran di media sosial memperkenalkan ‘AI boyband’ pertama di Malaysia iaitu kumpulan penyanyi lelaki yang dilahirkan dengan khidmat kecerdasan buatan (AI).
Dalam hantaran yang tidak dikongsikan nama band tersebut, mereka memperkenalkan tiga anggota iaitu Adam, Cedrix dan Kaizer dengan tagline ‘kekasih virtual impian’.

Tidak lama selepas ini, keadaan menjadi lebih menarik apabila kumpulan penyanyi perempuan, The Alice Experiment (TAE) pula diperkenalkan oleh agensi LOL Asia dan Pixelcrest. Mereka mempunyai empat anggota Alice Maev Kim, Tae Kim-hyun, Kai Morikawa dan Rumi Lee Khan. TAE yang diiktiraf sebagai kumpulan penyanyi AI perempuan sepenuhnya oleh ASEAN Book Records serta mempunyai beberapa lagu Unbreakable, Shackles dan Unadulterated Hate.

Ada banyak perbincangan dalam kalangan penggiat dan peminat seni yang rata-ratanya kurang senang dengan kehadiran penghibur dari rahim kecerdasan buatan.
Bagaimanapun, ahli kumpulan KRU iaitu band pertama Malaysia yang menggunakan AI dalam video muzik, Datuk Norman Abdul Halim ada pandangan berbeza.

J: Bagaimana Datuk melihat keadaan semasa apabila semakin banyak kumpulan penyanyi dihasilkan sepenuhnya oleh kecerdasan buatan?

N: Saya rasa ini memang satu perkara yang tidak boleh dielakkan. Generasi Z sekarang ini pun lebih minat lagu-lagu yang tidak ada personaliti ataupun bukan orang yang nyanyi. Ini perkara kita harus terima.
Kita berada di fasa perubahan di mana penonton tidak kisah penyanyi itu orang sebenar atau sekadar fiksyen. Paling dekat cerita Kpop Demon Hunters, tetap menjuarai carta Billboard dan sebagainya. Ini tidak hanya beri impak kepada kepada muzik tapi juga perfileman.

J: Dalam era transisi ini, pasti ada perubahan yang akan mengubah budaya menerima dan menghasilkan muzik. Daripada sudut pandang pengkarya, adakah akan memberi ancaman contohnya ada posisi pekerjaan yang bakal diganti dengan kecanggihan AI?

N: Saya fikir tiada masalah bagi pengkarya, cuma mungkin akan ada cabaran dari sudut persembahan kerana ada konsert yang tidak guna manusia pun. Contohnya, Abba Voyage di London yang menggunakan avatar. Ia disambut baik oleh penonton.

J: Tapi Datuk, kembali kepada Kpop Demon Hunters yang dibincangkan, ia sebuah animasi, kita tahu ada suara manusia yang menyanyikan lagu itu. Tapi kalau situasi band yang dihasilkan sepenuhnya AI bagaimana Datuk? Suara, lagu, gerak tarinya daripada cernaan AI. Kalau itu etikanya macam mana?

N: Hiburan ini sebenarnya tiada halangan. Perkara ini boleh terjadi, samalah juga suatu masa dahulu kita pertikaikan kehadiran pempengaruh. Artis tidak anggap mereka artis sebab tidak lalui jalan yang sama. Samalah zaman bintang realiti televisyen.
Ini hanya menunjukkan perubahan masa. Jadi, sekarang ini masa pengkarya tidak menggunakan cara yang lama untuk menghasilkan lagu. Sekiranya ia diterima oleh masyarakat, siapa kita untuk menghalangnya?

J: Okay, saya beri senario, sekarang ini kalau kita dengar lagu, kita tahu itu suara siapa. Tapi kalau AI, kita hendak kata itu suara siapa? Hatsune Miku di Jepun memang avatar, tapi suara diproses daripada suara penyanyi Saki Fujita. Kalau band yang sepenuhnya AI tadi macam mana Datuk?

N: Walaupun AI dijana dengan kebijakan mesin, kalau mereka mampu hasilkan suara yang unik dan selepas ‘belajar’ daripada penyanyi lain, apa salahnya. Apa lagi kalau lagu itu sedap dan orang boleh terima.

J: Baiklah sebagai seorang usahawan pula, saya mahu mendengar pandangan Datuk bagaimana masa depan artis-artis AI ini? Mungkinkah suatu hari nanti di majlis anugerah wujud pula kategori Artis Kecerdasan Buatan Terbaik?

N: Tidak mustahil selagi ada orang dan manusia yang hendak tonton. Jika peminatnya ada, sudah pasti wujud ruang perniagaan.
Kalau ada kategori itu atau tiba-tiba berlaku evolusi industri muzik di mana yang bertanding hanya artis-artis AI. Boleh, silakan. Asalkan orang suka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN