KANGAR: Langkah Pas meletakkan lebih ramai calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini bukan sekadar untuk menang, sebaliknya salah satu usaha memperluaskan pengaruh parti itu di negeri berkenaan.
Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, soal menang dan kalah bukan menjadi keutamaan, sebaliknya apa yang lebih penting memperkenalkan Pas selain sebagai usaha dakwah serta menegak syiar Islam khususnya di negeri itu.
Katanya, menang beberapa kerusi atau tidak hilang wang deposit sudah menjadi satu kebanggaan bagi Pas.
“Bagi saya, apabila kita meletakkan ramai calon dalam PRN Sabah kali ini adalah satu percubaan yang sangat baik. Tidak kisahlah menang atau kalah. Ia menjadi langkah permulaan kepada Pas di Sabah seterusnya berusaha mendapat penerimaan rakyat di negeri tersebut.
“Dahulu, kita bertanding dalam Pilihan Raya Umum, tidak pernah menang satu kerusi pun namun kita tidak pernah berputus asa menyertai setiap pilihan raya.
“Hasil usaha berterusan itu, kini kita sudah berjaya menguasai empat negeri (Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu). Di Perlis contohnya, dulu kita tidak pernah menang pun, tapi kita tidak pernah berhenti bekerja dan akhirnya berjaya mencapai kemenangan besar seterusnya menguasai kerajaan negeri,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Sebelum ini, Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dilaporkan berkata, partinya akan bertanding 12 kerusi dalam PRN Sabah pada 29 November ini dan mensasarkan sekurang-kurangnya menang satu kerusi.
Hashim berkata, Pas tidak kisah jika gagal menang banyak kerusi tetapi sekurang-kurangnya parti dapat meluaskan pengaruh politik di Sabah.
Katanya, berbekalkan matlamat itu, semangat pemimpin Pas di Sabah cukup tinggi dalam berdepan PRN tersebut.
“Kita akan terus berusaha membuka hati rakyat Sabah menerima Pas melalui PRN kali ini. Pas juga sudah melakukan persediaan dalam menghadapi pilihan raya tersebut.
“Tidak menang, tidak mengapa, janji penyertaan kita di dalam pilihan raya tersebut,” katanya.-UTUSAN









