KOTA KINABALU: Projek mega The V Jesselton bukan sekadar mercu tanda baharu bandar raya ini, malah bakal memberi impak ekonomi bertaraf dunia kepada pembangunan Kota Kinabalu.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam, berkata projek hasil kerjasama Jesselton International dan Yayasan Sabah itu dijangka menjadi pemangkin utama pertumbuhan sektor perniagaan serta pelaburan di negeri ini.
“Projek The V akan menjadi model kerjasama erat antara sektor swasta dan kerajaan, seiring dengan aspirasi menjadikan Kota Kinabalu tumpuan pelawat serta pelabur antarabangsa. Ia juga antara hartanah bernilai tinggi yang bakal menyumbang besar kepada ekonomi bandar raya apabila siap kelak,” katanya pada pelancaran projek berkenaan, hari ini.
Kejayaan projek itu membuktikan kebijaksanaan dua pihak merancang dan melaksanakan pembangunan berimpak tinggi yang mampu merancakkan ekonomi negeri.
Namun, katanya, pembangunan tidak hanya tertumpu di kawasan bandar, sebaliknya turut digerakkan ke luar bandar bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang seimbang.
Joachim berkata, usaha itu selaras dengan Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang telah menunjukkan hasil positif sejak hampir lima tahun dilaksanakan.
Beliau berharap lebih banyak pemaju tampil melaksanakan projek seumpama itu bagi memperkukuh ekonomi negeri dan menyediakan peluang baharu kepada rakyat.
Katanya, The V Jesselton akan menempatkan unit kediaman mewah serta pusat perniagaan moden, dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh kurang tiga tahun.-UTUSAN









