Terus lantang bersuara! - Utusan Malaysia

Terus lantang bersuara!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam tidak sedar, sudah genap dua tahun Palestin berdepan dengan isu penindasan secara besar-besaran oleh Israel sejak 2023. Bahkan, kota yang sebelum ini tersergam indah itu kini bersisakan debu dan musnah akibat dibedil.

Malah, isu ini semakin mendapat perhatian dari seluruh negara kerana simpati dengan rakyat negara itu yang kini berusaha mencari tempat perlindungan yang selamat.
Kini, gerakan Global Sumud Flotilla secara global turut membuka mata ramai pihak termasuklah selebriti di seluruh dunia demi memperjuangkan nasib rakyat Palestin. Berikut merupakan selebriti yang tidak gentar menunjukkan solidariti untuk Palestin.

Dua Lipa

Penyanyi dan penulis lagu terkenal dunia, Dua Lipa, terus menyatakan pendirian tegasnya dalam menyokong rakyat Palestin di tengah konflik yang semakin meruncing di Gaza.
Dalam satu hantaran di laman X, Dua Lipa menyelar tindakan ganas yang dilakukan ke atas penduduk awam Palestin dan menyifatkannya sebagai pencabulan hak asasi manusia yang serius.
Penyanyi itu turut menandatangani surat terbuka bersama puluhan selebriti dan aktivis global, yang menuntut gencatan senjata segera serta bantuan kemanusiaan yang menyeluruh untuk rakyat Palestin.
Bukan itu sahaja, Dua Lipa sebelum ini pernah menjadi sasaran kempen pro-Israel kerana pendiriannya yang menyokong kebebasan dan keadilan untuk Palestin. Demi membuktikan ketegasan dirinya menyokong Palestin, penyanyi lagu New Rules itu turut memecat pengurusnya yang merupakan seorang pro-Israel.

Bella Hadid

Supermodel terkenal, Bella Hadid tegas dengan pendiriannya dalam menunjukkan sokongan terhadap rakyat Palestin menerusi seluruh platform media sosialnya.
Bella yang juga berdarah Palestin tidak gentar meluahkan rasa sedih dan marah terhadap penindasan yang berlaku secara terang-terangan biarpun sudah mempunyai tapak dan pengaruh yang kuat dalam industri Hollywood.
Sokongan lantangnya telah menerima pujian daripada aktivis hak asasi manusia, namun turut mengundang kecaman daripada beberapa pihak pro-Israel.
Namun, perkara itu tidak mematahkan semangatnya untuk mempertahankan pendiriannya.

Mark Ruffalo

Pelakon Hollywood terkenal, Mark Ruffalo beberapa kali menggesa masyarakat untuk tidak mengambil ringat terhadap isu penindasan yang berlaku di Palestin yang kini sudah mencecah 75 tahun lamanya.
Bintang filem Marvel, Hulk itu lantang menyeru agar kerajaan Amerika Syarikat menilai semula sokongan ketenteraan kepada Israel, terutamanya apabila melibatkan pelanggaran hak asasi dan kematian orang awam.
Bagaima­na­pun, Ruffalo juga tidak terlepas daripada menjadi sasaran kritikan beberapa kumpulan pro-Israel yang menuduhnya menyebarkan maklumat berat sebelah.

Emma Watson

Pelakon terkenal dari Britain, Emma Watson, yang dikenali menerusi wataknya sebagai Hermione Granger dalam siri filem Harry Potter, telah menyatakan sokongannya terhadap rakyat Palestin, mencetuskan pelbagai reaksi dari seluruh dunia.
Dalam satu hantaran di Instagram yang dimuat naik pada awal 2022 dan kembali tular kini, Emma memuat naik gambar protes dengan sepanduk bertulis “Solidarity is a verb” berserta kapsyen menyatakan bahawa solidariti terhadap Palestin bukan hanya tentang simpati, tetapi juga tindakan menyokong keadilan dan hak asasi manusia.
Namun, sokongan Emma turut menerima kritikan keras daripada beberapa pihak pro-Israel, termasuk pegawai diplomatik Israel yang menuduh pelakon itu menyebarkan mesej berunsur ‘antisemitisme’.

The Weeknd

The Weeknd telah menderma sebanyak US$1 juta (kira-kira RM4.7 juta) kepada Program Makanan Sedunia (World Food Programme, WFP) untuk membantu menyediakan makanan kecemasan kepada penduduk di Gaza dan Tebing Barat yang terjejas akibat konflik berterusan.

Sumbangan itu disahkan oleh pihak WFP pada 2023, yang menyatakan bahawa dana tersebut digunakan untuk menyokong lebih 150,000 rakyat Palestin dengan bantuan makanan segera.
Selain sumbangan kewangan, penyanyi lagu Starboy itu juga pernah berkongsi hantaran dan mesej di media sosial yang menyuarakan simpati terhadap penderitaan rakyat Palestin, menyeru kepada keamanan, keadilan, dan akses bantuan kemanusiaan yang adil tanpa diskriminasi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN