JASIN: Melaka mengenal pasti beberapa kawasan sesuai bagi pelaksanaan projek akuakultur seperti ternakan udang dan ikan siakap, khusus untuk membantu nelayan berdaftar yang terkesan akibat projek tambakan laut.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, program berimpak tinggi itu dilaksanakan sebagai inisiatif memastikan sumber pendapatan lebih 1,000 nelayan berdaftar terus terjamin, susulan projek tambakan laut yang memberi kesan kepada hasil tangkapan semasa.
Menurutnya, beberapa tanah kerajaan yang tidak digunakan akan diserahkan kepada persatuan nelayan supaya dapat diusahakan dan dimanfaatkan sebagai projek akuakultur.
“Sebab itu projek akuakultur ini akan segera digerakkan sebagai sumber pendapatan baharu yang setara dengan hasil laut. Kalau sebelum ini mereka meraih hasil RM3,000 sebagai nelayan, kita juga mahu pendapatan itu kekal, menerusi projek akuakultur ini.
“Kita sudah kenal pasti tanah-tanah kerajaan yang tidak digunakan untuk dibangunkan sebagai tapak akuakultur. Setiap kawasan utama seperti Melaka Barat, Melaka Selatan dan Jasin akan dibangunkan secara berperingkat di bawah persatuan nelayan kawasan,” katanya pada program pelepasan benih udang di Projek Ternakan Udang Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Fasa II, Kampung Sebatu di sini, hari ini.
Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, projek ternakan tersebut merupakan antara usaha di bawah peruntukan keterjaminan makanan berjumlah RM21 juta yang diterima Melaka tahun ini menerusi program mengoptimumkan penggunaan tanah dengan kerjasama kerajaan negeri.
Ujarnya, sebanyak RM350,000 bagi pemerkasaan ternakan udang diperuntukkan, selain pembekalan benih dan makanan udang bagi enam kolam, empat unit pam bawah air (submersible pump) serta sebuah traktor.
“Hari ini kita melepaskan satu juta benih udang putih dijangka dapat dituai pada Januari depan, sekali gus menghasilkan 18 tan metrik udang dengan anggaran jualan RM450,000,” katanya.-UTUSAN










