‘Terlajak perahu juga belum tentu boleh diundur’ - Utusan Malaysia

‘Terlajak perahu juga belum tentu boleh diundur’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LELUHUR kita pernah berpesan, terlajak perahu boleh diundur tetapi terlajak kata padah binasa. Benar, tetapi biarlah berabad lamanya peribahasa itu menemani kita, masih ada yang mungkin lupa atau buat-buat lupa.

Apabila aktor popular, Datuk Aaron Aziz menerima kecaman dahsyat lantaran perkongsian petikan video (yang dikerat) berkaitan Gaza oleh seorang pempengaruh, saya rasa inilah bermula segala drama di media sosial.

Entah dari mana dan bagaimana, petikan itu dikerat sehingga hilang intipati utama lantas mewujudkan persepsi yang akhirnya memberi bahana kepada pelakon Ombak Rindu itu. Teruk dia dikecam.

Ketika itu, kata maaf seperti tidak laku dijual. Malah, dia menerima ugutan mental dan fizikal termasuk ahli keluarganya sekali. ‘Sekejam’ itu cercaan segelintir warganet yang terpengaruh dengan video unggahan individu tadi.

Hujung-hujung, petikan itu dipotong dan apa yang dimaksudkan Aaron ketika ditembual jauh panggang dari api seperti yang diulas pempengaruh itu. Tetapi sayang, trauma dan penderaan mental yang dialami sukar untuk dipulihkan.

Malah, anak pelakon itu sendiri memaklumkan, lantaran kecaman tersebut, Aaron menitiskan air mata kekecewaan seolah tidak dihargai apatah lagi disalah erti. Itulah akibat terlajak kata yang membawa fitnah.

Sekarang pempengaruh itu pula menerima nasib sama seperti Aaron. Dia merasai apa yang ditelan Aaron. Tidak wajar tetapi itulah ‘keadilan’ bagi ‘Jabatan Netizen’. Tidak kira siapa salah dan benar, asal boleh hentam.

Jujur Poklip sendiri tidak faham bagaimana segelintir warganet boleh begitu kejam tanpa usul periksa mengecam sesiapa sahaja yang di mata mereka terlihat salah. Mungkin itu yang dimaksukan dengan fomo, fear of missing out.

Dan Aaron bukan mangsa pertama. Ramai selebriti, pempengaruh hatta ‘orang biasa’ macam Poklip yang mungkin pernah berdepan kecaman dek lancangnya fitnah dan dakwaan. Tiada siapa peduli.

Bagi mereka, asal boleh kecam. Dan bagi mereka juga, sudah nama artis hadap sahajalah. Jangan begitu, kita tidak tahu sejauh mana fitnah itu boleh menghancurkan seseorang yang tidak bersalah.

Jika Aaron berdiam diri, mungkin sudah banyak kontrak yang terbatal. Dia mungkin disisihkan dan terbiar. Adakah itu satu kewajaran bagi dia? Tidak bukan? Dia tidak ada hati dan perasaan kah?

Ramai sahaja selebriti yang ‘ditamatkan riwayat’ oleh segelintir pihak. Tahu-tahu, ruangan komen dipenuhi dengan Al Fatihah. Sedangkan si polan itu sedang elok minum kopi cicah biskut.

Malah perangai segelintir warganet kita, baca tajuk berita sahaja bukan intipati. Lepas itu mulalah komen adakah berita ini boleh menurunkan harga minyak? – Kelakar tetapi menyakitkan hati.

Kita kini berada di era fitnah berleluasa, terutama dengan kemajuan teknologi kecerdasan buatan (AI), sesiapa sahaja boleh jadi sesiapa. Maka lebih mudah fitnah itu menjadi bahan sebaran.

Jangan mudah percaya dengan apa sahaja yang anda lihat dan dengar. Jangan mudah menghukum. Jangan ambil kerja Tuhan. Kita manusia biasa sahaja, tidak akan pernah sempurna.

Baca dan dapatkan kesahihah sesuatu perkara. Jangan membuta tuli menganggap seseorang itu salah tanpa mengetahui hujung pangkal cerita. Sudah-sudahlah. Kalau jari gatal sangat nak mengecam, pergi kecam rejim Zionis. Puas hati.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN