PETALING JAYA: Selebriti dan aktivis kemanusiaan, Heliza Helmi, meluahkan pernah terfikir bakal menemui ajal akibat dehidrasi selepas ditahan tentera Zionis di dalam Penjara Ktzi’ot, Israel.
Heliza atau Nur Heliza Helmi, 39, terpaksa minum air daripada paip tandas untuk bertahan hidup selepas permintaan mereka untuk mendapatkan air minuman tidak dihiraukan pihak Israel.
“Keadaan di laut dan darat sangat berbeza. Tentera mereka memang sangat jahat. Kami diikat tangan bukan di depan, tapi di belakang entah berapa jam. Kali terakhir kami diberi makan dan minum ialah pada 1 Oktober.
“Dalam penjara ada terfikir mungkin kami ini akan mati disebabkan tak ada air. Bila kami minta, cakap kami semua dehidrasi, mereka buat tak tahu saja. Akhirnya, kami terpaksa minum air dari paip tandas,” katanya menerusi temu bual bersama media.
Dalam pada itu, jelas Heliza, niatnya untuk menghantar bantuan kepada rakyat Gaza juga diperlekeh tentera zionis bertugas.
“Sebelum dimasukkan ke penjara ada beberapa fasa, ada satu ketika dia tanya saya, ‘Kenapa kamu nak pergi Gaza?’
“Saya jawab sebab nak beri bantuan makanan dan membuka mata dunia. Bila dengar perkataan itu dia pandang saya dengan sinis dan cakap ‘selamat datang ke penjara’
“Waktu itu saya sedar, hanya kerana kami mahu membantu orang yang lapar dan tidak berdosa, kami diperlakukan sebegini. Dunia perlu tahu hakikat ini,” jelasnya.
Terdahulu, 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla ditahan tentera Zionis ketika dalam perjalanan menghantar bantuan makanan dan ubat-ubatan.
Bagaimanapun, mereka dilaporkan telah dibebaskan daripada tahanan rejim Zionis dan telah diterbangkan ke Istanbul, Turkiye menggunakan pesawat khas.
Kesemua mereka kini berada di Istanbul bagi menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum dijangka pulang ke tanah air dalam masa terdekat. -UTUSAN