PUTRAJAYA: Pihak pembelaan Datuk Seri Najib Razak menghujahkan terdapat keraguan bahawa keputusan usahasama antara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan PetroSaudi International Ltd (PSI) dipengaruhi perbualan telefon antara bekas Perdana Menteri itu dengan bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohd. Bakke Salleh.
Menurut peguam bela, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, tindakan pihak pengurusan dan Lembaga Pengarah 1MDB menunjukkan mereka sudah pun berhasrat meneruskan usaha sama tersebut sebelum Najib membuat panggilan kepada Mohd. Bakke.
“Pada masa itu, keterangan menunjukkan bahawa pihak pengurusan dan Lembaga Pengarah 1MDB sedang mengambil langkah aktif untuk memuktamadkan serta merealisasikan kerjasama dengan PSI termasuk dengan melantik wakil korporat dan membuka akaun bank bersama PSI, antara lain.
“Persoalan lebih besar ialah, jika Lembaga Pengarah diarahkan Perdana Menteri sendiri untuk menyertai usaha sama dengan PSI, bagaimana mereka berani menetapkan syarat dan keperluan tertentu sebelum bersetuju menyertai usaha sama tersebut sehingga menyebabkan kelewatan?” katanya dalam hujahan akhir kes pembelaan di Mahkamah Tinggi di sini semalam.
Pada perbicaraan sebelum ini, Mohd. Bakke dalam keterangannya berkata, Lembaga Pengarah 1MDB telah diminta Najib untuk tidak menghabiskan masa dengan meneliti transaksi lepas syarikat itu, sebaliknya menumpukan kepada cadangan usaha sama dengan PSI.
Beliau berkata, perkara itu disampaikan Najib melalui panggilan telefon selepas bercakap dengan ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low ketika mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB pada September 2009.
Mohd. Bakke dalam keterangannya turut menyatakan, beliau merumuskan bahawa jika tidak kerana panggilan telefon itu, Lembaga Pengarah tidak akan mempercepatkan projek usaha sama yang boleh dilaksana mengikut proses normal.
Selain itu, Wan Azman Aiman menghujahkan bahawa tidak menjadi kewajipan Najib untuk membuat laporan polis berhubung dakwaan pemalsuan tanda tangannya pada beberapa dokumen termasuk berkenaan berkaitan kelulusan pinjaman berjumlah AS$975 juta oleh 1MDB dengan Deutsche Bank Singapore.
Sebaliknya, beliau berkata, menurut Seksyen 67 Akta Keterangan 1950, beban untuk membuktikan bahawa tandatangan yang dipertikaikan itu milik Najib terletak sepenuhnya pada pihak pendakwaan.
Peguam terbabit menyatakan, pegawai penyiasat gagal untuk membuat pengesahan bahawa tandatangan atau catatan pada dokumen benar-benar dibuat oleh Najib.
Tambahnya, terdapat keterangan saksi pakar yang menunjukkan tulisan tangan dan tandatangan pada dokumen tersebut tidak sepadan dengan tulisan Najib.
Pada 5 Mei lalu, pemeriksa forensik dokumen iaitu saksi pembelaan ke-26, Tay Eue Kam dalam keterangannya menyatakan walaupun terdapat perbezaan tanda tangan Najib dalam beberapa dokumen termasuk salinan cek, beliau tidak dapat memberikan dapatan onklusif sama ada tandatangan itu adalah tulen atau sebaliknya.
Ini kerana dokumen yang dipertikaikan dan dokumen yang dibandingkan diberikan kepadanya untuk pemeriksaan adalah salinan fotostat dan bukan dokumen asal.
Prosiding yang didengar oleh Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung hari ini.-UTUSAN










