Tender segmen kedua Projek LRT dinilai

Tender segmen kedua Projek LRT dinilai

CHOW KON YEOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Proses tender pelaksanaan segmen kedua Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara yang melibatkan jajaran dari Macallum ke Penang Sentral masih dalam proses penilaian.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, setakat ini belum ada keputusan rasmi berhubung proses tender berkenaan kerana sedang diteliti Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) selaku pemilik dan pelaksana projek.

“Ia masih dalam proses penilaian. Saya difahamkan, sebelum ini, MRT Corp juga pernah meminta supaya reka bentuk dan beberapa perkara teknikal diteliti semula sebelum keputusan dimuktamadkan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.

LRT Laluan Mutiara ialah projek pengangkutan awam di Pulau Pinang sebagai sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan (PTMP) negeri yang menghubungkan 21 stesen menjangkau dan dijangka siap pada Disember 2031.

Mengulas laporan akhbar bahasa Cina bahawa Gamuda Bhd. menarik diri daripada membida segmen kedua projek itu, Kon Yeow menjelaskan, perkara tersebut tidak dimaklumkan secara rasmi kepada kerajaan negeri, namun ia tidak memberi kesan terhadap pelaksanaan keseluruhan projek.

Menurut beliau, pengumuman oleh Gamuda hanya merujuk kepada segmen kedua, manakala segmen pertama iaitu jajaran dari Silicon Island ke Komtar dan Macallum sudah pun ditawarkan kepada SRS Consortium melalui rundingan terus berasaskan obligasi kontrak sedia ada dengan kerajaan negeri.

Katanya, tindakan Gamuda memberi tumpuan kepada segmen pertama dilihat sebagai langkah yang baik kerana ia membolehkan syarikat itu memastikan pelaksanaan berjalan lancar tanpa gangguan terutamanya membabitkan isu pengurusan lalu lintas.

Kon Yeow berkata, tiada halangan bagi mana-mana syarikat luar negara untuk turut serta dalam pembidaan projek itu selagi mereka mematuhi syarat kelayakan ditetapkan oleh MRTC.

“Konsortium yang melibatkan syarikat tempatan dan asing boleh mengemukakan bidaan bersama untuk dinilai kelayakan serta kesesuaiannya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN