Tempest: Biarlah perempuan hentikan perang - Utusan Malaysia

Tempest: Biarlah perempuan hentikan perang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

‘DALAM mimpi, aku seorang lelaki’, drama popular Tempest dibuka dengan monolog ini dibacakan Min-ju (Jun Ji-hyun) sambil berjalan perlahan di belakang suaminya yang sepatutnya menjadi calon kuat presiden Korea Selatan, Jun-ik jika tidak mati.

Saya tidak pasti bila Chung Seo-kyung (Decision to Leave,The Handmaiden) menuliskan skrip ini. Tapi terasa dekat dan sebati pula di tengah ketegangan geopolitik hari ini.

Mungkinkah ketika Kim Jong-un menolak mentah-mentah desakan Washington untuk menyerahkan nuklear? Atau ketika Lee Jae Myung meluahkan kegusaran mendakwa Korea Utara membina 15-20 bom nuklear dalam setahun? Mungkinkah ketika suhu turun naik dalam siri-siri rundingan Pyongyang?

Apapun, Tempest dilihat cuba menawarkan graf dan sentuhan baharu dalam siri drama Korea Selatan dengan mengheret isu perang, politik serantau dan semestinya, espionage. Seo-kyung mendapat pasukan (juga bajet) yang baik dengan kerjasama gandingan pengarah Kim Hee-won (Vincenzo) dan Heo Myeong-haeng (Badland Hunters).

Menerusi sembilan episod, pengenalan serta visi pengarah dalam mempersembahkan Tempest diatur cemerlang terutama di awal-awal episod. Kita diikat dengan teka-teki siapa pembunuh Jun-ik juga beberapa konflik yang membuatkan kita berasa terpanggil untuk melihat bagaimana beberapa karakter di dalam Tempest memandang sebuah peperangan.

Min-ju adalah bekas setiausaha politik dan berpengalaman melakukan beberapa siri rundingan antara wakil pemimpin besar dunia. Cuma selama ini, dia adalah trofi yang harus nampak sopan, cantik, bijak agar tidak mengganggu undi suami.

Dari awal berniat mahu membalas dendam mencari pembunuh suami yang dikenali sebagai ‘janda Jun-ik’, namun Min Ju perlahan-lahan mendaki tangga politik dan cukup karisma untuk membuat orang mengingatinya sebagai namanya.

Skandal, percintaan atau apapun itu antara Min-ji dan San-hoo juga menyita perhatian. Bertahun-tahun menjadi perisik, San-hoo tidak pernah jatuh hati kepada klien sendiri. Tapi Min-ji berbeza, bahkan sebelum menjadi janda San-hoo mengagumi Min-ju yang percaya kepada penyatuan antara Korea Utara dan Selatan sekali gus. Sebagai anak tidak bernegara yang cuma nenek di Korea Utara, semestinya San-hoo berharap kepada visi besar Min-ji walau penuh kontroversi.

Empat episod terakhir, kita mula melihat kepimpinan Min-ji sangat berbeza dengan jantan-jantan rakus yang kebetulan jadi pemimpin dunia dalam bilik mesyuarat buru-buru mahukan perang kerana kata mereka, ini lambang kekuasaan juga jalan terakhir.

Panik reaksi yang wajar ketika dicabar untuk bertempur, tapi Min-ji merasakan perlu bijak menilai naratif yang dibawakan dan fakta-fakta kapal selam yang membawa bertan-tan bom nuklear menuju Amerika Syarikat. Kerana orang dalam sidang bilik pendingin hawa terlalu tolol memikirkan impak ribuan bakal mati di semenanjung Korea Selatan juga ketegangan yang bakal tercetus di Asia Timur jika pengeboman tercetus.

Min-ji tidak percaya kepada Tuhan Jesus kerana seluruh rasa percaya diserahkan kepada jalan-jalan damai yang boleh mengekalkan keamanan dunia. Presiden Kim Hae-sook yang pada awalnya dingin banyak memberi ruang kepada Min-ji. Sampailah di akhir penggal, dia meminta Min-ji untuk naik sebagai presiden menggantikannya walau mereka di parti berbeza.

“Tidak boleh, saya masih terlalu sedih,” kata Min-ji dihujung telefon selepas kehilangan mentua, suami, cikgu dan kekasihnya.

“Itu yang kita perlukan, seorang pemimpin yang mengenal luka untuk bangkit daripadanya,” kata puan presiden. Min-ji tersentak.

Di kaki bukit dia kemudian yakin bahawa tidak perlu menjadi lelaki di dunia politik yang didominasi kekuasaan lelaki. Jadilah, perempuan yang percaya kepada kehalusan, empati dan rundingan juga cukup cerdik percaya bahawa perang hanya akan menetaskan deretan nasib malang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN