KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) dan UMNO akan meneliti aspek perundangan dan politik berhubung dua Ahli Parlimennya yang berkemungkinan bertanding atas tiket parti lain pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada bulan depan.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ketika ini kedua-dua ahli Parlimen terbabit telah dikenakan tindakan penggantungan keahlian oleh parti.
“Mereka sekarang ini memang digantung dan menurut laporan, mereka akan bertanding atas tiket payung yang lain.
“Jadi, kita akan lihat dari segi aspek perundangan dan juga dari segi aspek politik,” katanya ketika ditemui selepas Program Karnival Mooda @ Desa X PNG: Penanak Culture Sabah di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Kota Kinabalu, Sabah.
Sebelum ini, dua penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah iaitu Datuk Ir Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat) dan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (Tanjung Batu) dikatakan bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRN nanti.
Mereka yang masing-masing merupakan Ahli Parlimen Putatan dan Kalabakan kini telah digantung keahlian dalam UMNO dan menyebabkan kedua-dua ahli politik itu tidak mungkin dapat bertanding pada PRN Sabah atas tiket BN.









