2,527 penjawat awam ditahan rasuah, babit nilai RM15.88 bilion

2,527 penjawat awam ditahan rasuah, babit nilai RM15.88 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Amalan rasuah dalam perkhidmatan awam perlu ditangani lebih serius apabila seramai 2,527 penjawat awam ditahan dengan nilai keseluruhan rasuah dikesan mencecah RM15.88 bilion dalam tempoh lima tahun sejak 2020 hingga Ogos lalu.

Berdasarkan rekod Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semua penjawat awam terlibat dikesan melakukan pelbagai kes rasuah dan salah guna kuasa serta kedudukan.

Lebih membimbangan, terdapat penglibatan pegawai tertinggi berpangkat Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) dan  menggambarkan kerakusan dan  sikap tamak tidak lagi mengenal pangkat.

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus berkata, punca utama kebocoran integriti bukan pada kelemahan undang-undang, tetapi pada manusia yang gagal berpegang pada amanah.

“Tatakelola yang longgar, budaya kerja lemah dan keinginan hidup mewah di luar kemampuan membuka ruang luas kepada rasuah walaupun sistem perundangan negara mantap,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Zainul berkata, sudah tiba masanya setiap Ketua Jabatan dipertanggungjawabkan sepenuhnya terhadap integriti organisasi masing-masing.

“Jangan lagi jadikan integriti sebagai hiasan dalam ucapan atau retorik di atas kertas. Ia mesti diterjemah melalui tindakan sebenar. Ketua jabatan perlu memimpin dengan teladan, bukan berlindung di belakang pegawai bawahan.

“Tatakelola setiap jabatan kerajaan perlu diperketatkan di mana setiap kelulusan mesti melalui semak dan imbang yang jelas selain memperluas penggunaan teknologi pengesanan transaksi bagi menutup ruang manipulasi dan salah guna kuasa,” katanya.

Katanya, budaya integriti mesti diperkasa dan menjadi asas perkhidmatan awam kerana selagi gagal dilakukan, selagi itulah rasuah terus menular sekali gus menghakim kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi komitmen bahawa amalan tatakelola baik terus menjadi keutamaan dalam pentadbirannya, sekali gus dapat menangani pembaziran dan amalan rasuah yang berakar umbi sekian lama.

Anwar memberi jaminan bahawa kerajaan melindungi semua pihak yang tegas melaksanakan tanggungjawab membanteras rasuah dan menyelamatkan negara daripada ketirisan hasil selaras dengan komitmen pentadbiran untuk memperkukuh tadbir urus serta integriti nasional.

Katanya, tindakan berani dan segera perlu diambil bagi memastikan negara bebas daripada kegiatan rasuah serta salah guna kuasa yang menjejaskan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×