Perlis mahu tarik pelancong ke Thailand dengan makanan murah

Perlis mahu tarik 70% pelancong ke Thailand dengan makanan murah

LOKASI pelancongan menarik, keunikan makanan yang sedap dan murah serta kawasan membeli-belah di Perlis juga tidak kurang hebatnya jika dibandingkan dengan Thailand.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Selain menonjolkan lokasi-lokasi menarik berdasarkan keindahan alam semula jadi, Perlis juga bakal memperkenalkan pakej makanan murah bagi menarik lebih 70 peratus pelancong ke Thailand singgah di negeri ini.

Menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, Perlis dijangka menjadi antara negeri pilihan pelancong memperkenalkan lokasi baharu sebagai tarikan serta menaik taraf infrastruktur.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Abu Bakar Hamzah berkata, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Perlis sentiasa sesak dengan pelancong khususnya pada musim cuti sekolah.

Katanya, Perlis yang menjadi laluan pelancong untuk ke Langkawi dan Thailand telah mengambil manfaat tersebut untuk menarik pengunjung singgah dan bermalam.

Katanya, hal ini kerana keunikan makanan dan kawasan membeli-belah tidak kurang hebatnya jika dibandingkan dengan negara jiran.

“Kira-kira 70 peratus pelancong yang datang akan bergerak ke Thailand melalui Perlis. Kita akan terus menonjolkan dan memperbanyakkan tempat menarik serta memperkenalkan pakej makanan murah dan penginapan selesa bagi menarik pelancong singgah.

“Bersempena Tahun Melawat Perlis yang disambung hingga tahun depan dan Tahun Melawat Malaysia, kita juga akan melihat semula keperluan menaik taraf infrastruktur,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Perlis mula menjadi antara lokasi tumpuan pelancong dari seluruh negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini berbanding sebelum ini hanya sekadar menjadi transit ke Pulau Langkawi.

Abu Bakar berkata, kehadiran pelancong yang ramai itu juga memberi limpahan kepada ekonomi setempat di mana setiap kali cuti, kedai-kedai makan, hotel serta inap-inap desa dipenuhi pengunjung dari seluruh negara.

Katanya, Perlis menariknya mempunyai ratusan kedai kopi yang boleh dinikmati dan selain makanan yang murah dan sedap.

“Insya-Allah fenomena orang berkunjung ke Perlis ini akan berterusan kerana suasana di negeri ini yang tenang dengan pemandangan memukau sekali gus berbeza dengan negeri-negeri lain,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN