GEORGE TOWN: Tapak Pelupusan Sampah Jelutong (TPSJ) yang telah berfungsi sebagai lokasi penerimaan sisa binaan dan perobohan serta tanah korekan sejak lebih empat dekad yang lalu akan dihentikan operasinya bermula 30 November ini.
Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam satu kenyataan memaklumkan, penghentian operasi itu bertujuan membolehkan kerja-kerja rehabilitasi di tapak pelupusan sedia ada dilakukan.
Sehubungan itu juga katanya, mereka yang menggunakan tapak tersebut bagi melupuskan sisa binaan, perobohan serta tanah korekan dinasihat menggunakan fasiliti Integrated Solid Waste Management Centre (ISWMC) di Ampang Jajar yang terletak di Seberang Perai Tengah (SPT) bermula 1 Disember.
“Kadar pelupusan yang ditetapkan pula ialah sebanyak RM15 per metrik tan bagi penjana atau pengangkut sisa berkenaan, perobohan serta tanah korekan yang memperolehi permit daripada Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MBPP,” katanya di sini, hari ini.
Jelas MBPP, tindakan perundangan boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dengan pelupusan tanpa kelulusan mengikut peruntukan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) dan Undang-undang Kecil Mengkompaun Kesalahan-kesalahan Jalan, Parit dan Bangunan (Majis Bandaraya Pulau Pinang) 2020.
Katanya, di bawah Akta 133, mereka yang didapati bersalah boleh dipenjara sehingga lima tahun atau didenda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan berterusan, jumlah denda boleh meningkat sehingga RM500 bagi setiap hari kesalahan tersebut dilakukan.
Kerajaan negeri pada 2020 dilaporkan telah memulakan kerja-kerja memulih serta membangunkan tapak pelupusan sampah berkeluasan 34 hektar itu secara berperingkat menerusi syarikat PLB Engineering Berhad (PLBEB) dengan peruntukan hampir mencecah RM1 bilion.-UTUSAN

 
								 
											






