Taktik zon kelabu kawasan pertindihan disifatkan sebagai provokasi

Taktik zon kelabu kawasan pertindihan disifatkan sebagai provokasi

MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penggunaan taktik zon kelabu oleh pihak tertentu di Laut China Selatan yang berselindung sebalik aktiviti penyelidikan hidrografi di wilayah pertikaian menerusi perlindungan kapal pengawal pantai asing merupakan satu bentuk provokasi dan ancaman nyata.

Menurut kenyataan bersama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Pete Hegseth, perairan itu merupakan kawasan pertindihan beberapa negara merupakan laluan maritim penting bagi menghubungkan rantau ini ke seluruh dunia dengan penghormatan kedaulatan semua pihak mesti kekal terpelihara.

Kedua-dua pemimpin berkata, komitmen terhadap keselamatan maritim di Laut China Selatan akan diteruskan selaras dengan prinsip kebebasan pelayaran serta usaha mengekalkan kestabilan dan keamanan rantau Indo-Pasifik.

“Kepentingan komunikasi dan dialog penting untuk mengelakkan salah perhitungan ketenteraan di samping meneruskan usaha pemodenan dan kebolehoperasian bagi memastikan kesiapsiagaan ketenteraan,” katanya hari ini.

Sementara itu, kedua-dua pemimpin mengumumkan pembaharuan Perjanjian Pemerolehan dan Perkhidmatan Saling Sokongan dan bertekad memuktamadkan perjanjian dua hala berkaitan komunikasi, perkongsian maklumat serta hal geospatial.

Kedua-dua pemimpin juga menekankan komitmen mereka menangani cabaran baharu yang melibatkan keselamatan siber, keselamatan maritim, keganasan dan ekstremisme ganas.

Dalam pada itu, Malaysia dan AS mengiktiraf kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara yang dizahirkan melalui latihan bersama, berkala dan pertukaran profesional yang kukuh.

Antara latihan pernah dilaksanakan bersama termasuk termasuk latihan tembakan Artillery Saturation Rocket System II (ASTROS II) daripada Briged Artileri Roket, Tentera Darat Malaysia dan M142 High Mobility Artillery Rocket System (HIMARS) Tentera Darat AS di Selat Melaka baru-baru ini.

“Pengiktirafan penyertaan 300 pegawai Malaysia setiap tahun dalam latihan ketenteraan dan pembangunan profesional di AS turut diberikan selain lawatan kapal serta penglibatan ketenteraan lain termasuk Perbincangan Strategik Malaysia-AS dan latihan serta rundingan dua hala.

“Kedua-dua pemimpin turut menzahirkan harapan untuk bertemu sekali lagi pada tahun hadapan di Pentagon, Washington,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×