PETALING JAYA: Sudah tiba masanya syarikat atau pengarah pengangkutan diheret ke mahkamah kerana kecuaian atau kegagalan mematuhi aspek keselamatan operasi sekali gus menamatkan rekod sifar pendakwaan terhadap operator pengangkutan darat di negara ini.
Aktivis keselamatan jalan raya, Shahrim Tamrin berkata, pihak berkuasa tidak boleh lagi bertolak ansur setiap kali nahas jalan raya membabitkan kenderaan komersial meragut nyawa dan mencederakan pengguna jalan raya lain.
“Sehingga kini, rekod pendakwaan terhadap operator pengangkutan adalah sifar walaupun banyak kemalangan besar berlaku. Sampai bila pihak berkuasa mahu terus memberi alasan?” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, negara digemparkan dengan dua nahas membabitkan lori sehingga meragut dua nyawa termasuk seorang bayi lelaki berusia setahun yang maut akibat rempuhan lori di Plaza Tol Kajang, Selangor.
Dalam kejadian berasingan, sebuah treler merempuh enam kenderaan di Jalan Kluang-Batu Pahat, Johor, kelmarin, mengorbankan pemandu Perodua Viva.
Shahrim yang juga bekas Ahli Lembaga Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) berkata, lebih mengejutkan apabila rekod menunjukkan tiada mana-mana pengendali rel mahupun syarikat pengangkutan darat pernah didakwa di mahkamah sejak era Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
“Sehingga sekarang termasuk selepas penubuhan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), belum pernah pendakwaan dilakukan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap syarikat pengangkutan setiap kali bencana kenderaan berat berlaku,” katanya.
Beliau berkata, tragedi terbesar pada Ogos 2013 yang meragut 37 nyawa akibat kemalangan bas di Genting Highlands serta nahas bas persiaran di Gerik yang membunuh 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) empat bulan lalu juga tidak menyaksikan sebarang tindakan undang-undang terhadap operator pengangkutan.
“Undang-undang sebenarnya ada, termasuk Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan kod keselamatan iCOP SHE. Masalahnya, tindakan undang-undang tidak diambil,” katanya.
Shahrim berkata, alasan pendakwaan sukar kerana proses rumit tidak boleh lagi diterima memandangkan nyawa rakyat terus menjadi taruhan.
“Saya merayu Menteri Pengangkutan serta Jawatankuasa Kesesakan dan Keselamatan Jalan Raya (JKK) peringkat Kabinet, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan dan Ketua Pengarah JPJ agar tidak lagi bertolak ansur.
“Bangkitlah dari lena wahai pihak berkuasa demi nyawa rakyat. Rakyat sudah muak mendengar pelbagai jawatankuasa ditubuhkan, tetapi tiada tindakan tegas,” katanya. – UTUSAN










