Syarikat kuari didenda RM40,000 miliki diesel tanpa permit - Utusan Malaysia

Syarikat kuari didenda RM40,000 miliki diesel tanpa permit

LOO Wooi Hong yang mewakili GCCP Marble Sdn. Bhd. didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas tuduhan memiliki 10,129 liter minyak diesel tanpa permit dua tahun lalu. - UTUSANMUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sebuah syarikat kuari didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki barang kawalan iaitu 10,129 liter minyak diesel tanpa permit, dua tahun lalu.

Hakim Ainul Shahrin Mohamad menjatuhkan hukuman itu selepas Syarikat GCCP Marble Sdn. Bhd. yang diwakili pengarahnya, Loo Wooi Hong, 32, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan.

Dalam penghakiman itu, Hakim Ainul turut memerintahkan wang hasil jualan RM23,803.15 dilucut hak kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Mengikut pertuduhan, syarikat itu didapati melanggar Peraturan 18(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu memiliki 10,129 liter bahan api diesel dalam perjalanan perniagaan tanpa kebenaran Pengawal.

Kesalahan dilakukan di sebuah premis di Keramat Pulai Industrial Park, Mukim Sungai Raya di dalam daerah Kinta pada pukul 6.30 petang, 15 Ogos 2023.

Pendakwaan dikemukakan di bawah Peraturan 21(1) Peraturan-Peraturan yang sama dibaca bersama Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(2) akta sama.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM2 juta dan bagi kesalahan kali kedua dan berikutnya, didenda tidak melebihi RM5 juta.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Mohamad Nazreen Zabarudin manakala syarikat itu diwakili Tetuan Wong & Ang.

Syarikat tersebut membayar denda berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN