Syarat baharu tunai haji bakal ubah komposisi usia jemaah

Syarat baharu tunai haji bakal ubah komposisi usia jemaah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Syarat baharu yang dikenakan oleh Kerajaan Arab Saudi terhadap bakal jemaah haji bagi tahun hadapan dijangka tidak akan mengubah kuota jumlah diberikan kepada Malaysia seperti sebelum ini.

Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, ia sebaliknya akan memberi kesan kepada komposisi jemaah haji dalam kalangan warga emas dan golongan lain.

“Ia pastinya memberi kesan kepada warga emas atau mana-mana individu yang sudah uzur, namun berhasrat untuk menunaikan haji. Kerana pastinya golongan sedemikian memerlukan bantuan orang lain sepanjang berada di sana.

“Namun, saya tidak menjangka akan berlaku penurunan jumlah jemaah. Saya rasa kuota tetap sama, yang pasti syarat-syarat baharu tersebut memberi peluang kepada umat Islam lain yang lebih sihat untuk menunaikan ibadah haji,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Semalam, akhbar ini melaporkan Kerajaan Arab Saudi memperketatkan beberapa syarat baharu kepada para jemaah haji tahun hadapan bagi melancarkan perjalanan ibadah rukun Islam kelima itu.

Antara syarat baharu yang ditetapkan ialah melarang jemaah yang menghidap penyakit kronik tidak terkawal atau mengalami penyakit berjangkit termasuk yang menggunakan kerusi roda daripada menunaikan ibadah haji tahun hadapan.

Selain itu, negara tersebut turut melakukan beberapa perubahan besar seperti tiada lagi Pusat Rawatan Tabung Haji akan dibuka di tanah suci dan semua jemaah haji yang sakit akan dirujuk ke hospital Saudi.

Lagi perubahan, bilangan petugas kesihatan haji akan dikurangkan, tiada lagi Safari Wukuf dan kuota pengiring untuk jemaah uzur, pesakit yang masuk wad tidak berpeluang untuk wukuf dan pengecualian hanya untuk kes Dementia ringan.

Mohammad Fahmi yakin Tabung Haji melakukan yang terbaik untuk memastikan jemaah dapat berangkat dan menunaikan haji pada setiap tahun.

“Kita belum ada perancangan berhubung syarat baharu dikenakan itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN