Suspek samun bekas Naib Canselor USM direman tujuh hari

Suspek samun bekas Naib Canselor USM direman tujuh hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Lelaki yang ditahan selepas disyaki menyerang dan menyamun bekas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak di Taman Pekaka, Gelugor semalam, direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

Perkara tersebut disahkan oleh Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad.

“Prosiding reman telah selesai. Suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 24 Oktober,” katanya di sini hari ini.

Semalam, Dzulkifli dilaporkan cedera selepas dipercayai menjadi mangsa samun berhampiran rumahnya di Taman Pekaka di sini ketika beliau baru sahaja pulang daripada menunaikan solat Subuh.

Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam kira-kira pukul 7.01 pagi berhubung insiden tersebut yang turut tular di media sosial.

“Hasil siasatan mendapati, kejadian berlaku kira-kira pukul 6.45 pagi ketika mangsa baru pulang dari masjid dan menyedari kehadiran seorang lelaki tempatan yang disyaki bersembunyi di tepi halaman rumahnya.

“Apabila mangsa menghampiri suspek, lelaki itu secara tiba-tiba mengacukan objek berwarna hitam sebelum menyerang mangsa dengan objek berkenaan,” katanya.

Menurut Azizee, suspek kemudian cuba melarikan diri dengan memanjat pagar rumah sebaik mangsa menjerit meminta tolong dan jiran yang menyedari kejadian turut cuba mengejar suspek namun gagal.

“Akibat serangan itu, mangsa mengalami luka di bahagian kepala dan menerima 16 jahitan selepas mendapatkan rawatan di sebuah klinik berhampiran,” katanya yang memberitahu, hasil tindakan pantas polis, suspek berusia 52 tahun berjaya ditangkap di kawasan Bayan Lepas kira-kira pukul 2.30 petang hari sama.

Tambah Azizee, siasatan lanjut mendapati, suspek mempunyai tiga rekod lampau berkaitan jenayah dan 10 lagi rekod kesalahan narkotik. Kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan cedera ketika melakukan samun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN