Memang termenung juga Cik Bunga apabila ada kenalan industri seni datang berbisik di telinga mengenai perangai tidak elok seorang selebriti lelaki tanah air ini.
Mana tidak termenung, Cik Bunga macam tidak percaya pun ada. Iyalah, perwatakannya, imejnya kalau dilihat, nampak baik sahaja.
Ala lelaki beriman, yang mana kalau kita tengok itu sejuk sahaja mata memandang.
Watak baik itu pun muncul sejak konon-kononnya dia ini sudah tinggalkan perangai buruk lampau dan kembali ke pangkal jalan dengan mencari jalan Allah.
Baguslah begitu bukan? Kita pun tidak mahulah hendak menyingkap kisah lama dia walaupun tahu sebelum ini dia memang ada rekod jenayah membabitkan dadah.
Kalau orang mahu berubah baik, tak akanlah kita pun hendak menghukum dia lagi betul?
Tetapi siapa sangka, sebenarnya, dalam pada dia memotretkan diri sebagai watak baik ala lelaki beriman itu, rupa-rupanya bab dadah masih belum tinggalkan!
Gaya cakap tak usah katalah, memang memuji Tuhan, zikir, umpama tidak henti di bibirnya.
Rupa-rupanya, di sebalik itu, barang terlarang tetap menemani di sisi. Macam tidak serik, pun ada.
Cik Bunga bukan apa, risau juga sebab dengarnya dia pun ada kenalan-kenalan yang rajin mengikutnya.
Tak pasti tujuan apa, mungkin bantu buat kerja dan sebagainyalah.
Cuma, Cik Bunga harap, tidaklah dia culas membayar gaji budak-budak itu. Janganlah, duit gaji buat-buat diam.
Tak padanlah dengan acah-acah lelaki beriman itu. Henti-hentikanlah perbuatan menunggang agama itu. Bertaubatlah.